Malaysiakini
Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menggesa Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Harun supaya menjalankan tugas seperti mana sumpah jawatan yang dilafazkannya sebelum ini.
Kata ahli parlimen Gua Musang itu "kegagalan" Azhar melaksanakan tugasnya itulah yang menyebabkan institusi parlimen kini tidak lagi dihormati rakyat.
"Satu-satunya tugas penting yang diliputi janji itu ialah memastikan calon perdana menteri - jawatan (berperlembagaan) terkanan dengan pelbagai kuasa - disokong Dewan Rakyat dan bersih daripada korupsi politik.
"Perdana menteri sekarang ini tidak mempunyai mandat Dewan Rakyat untuk mendapat hak keperlembagaan terhadap jawatan beliau.
"Dewan Rakyat pula tidak diberi hak melaksanakan tugas perlembagaannya untuk menentukan sama ada beliau berhak menjadi perdana menteri yang bersih daripada korupsi politik," katanya dalam surat yang dihantar kepada Azhar dan didedahkan kepada umum.
Ia berlaku selepas Azhar mengeluarkan kenyataan bersama Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim bagi menjelaskan jangkaan parlimen dibuka semula seperti yang dituntut pelbagai pihak.
Tengku Razaleigh berkata ketika ini Muhyiddin Yassin tidak memiliki mandat daripada rakyat untuk menjadi perdana menteri.
Untuk rekod Tengku Razaleigh sejak awal lagi memang menunjukkan sikap tidak cenderung untuk menyokong presiden Bersatu itu sebagai perdana menteri.
Pada 27 Mac pengerusi Jemaah Penasihat Umno itu menjelaskan dia tidak menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri kerana menghormati Perlembagaan Persekutuan.
Dalam surat kepada Azhar itu juga Tengku Razaleigh berkata usul-usul yang dikemukakan ke Dewan Rakyat dianggap sebagai tidak berguna kerana speaker tidak melaksana tugas sebaliknya membenarkan seorang menteri kabinet menentukan sama ada ia boleh dibahaskan atau tidak.
"Ini bermakna tugas Dewan Rakyat tidak dihiraukan dan sekali gus bercanggah dengan sumpah jawatan.
"Maka dengan itu timbullah kemelut lompat-melompat parti. Keadaan ini memalukan Dewan Rakyat, ia seolah-olah dipersenda.
"Di samping itu rakyat menganggap dewan yang mulia itu sudah kehilangan maruah.
"Orang ramai tidak percaya wakil rakyat yang mungkir janji terhadap ikrar mereka dipilih berasaskan sesuatu sebab atau prinsip tertentu," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan