"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mengapa kempen burukkan Anwar kembali aktif?

ZIN MAHMUD

Sejak akhir minggu lalu, mula kelihatan tular posting-posting berupa memburuk-burukkan Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan seolah-olah kempen pilihan raya umum sudah bermula.

Sedangkan buat masa ini, tumpuan negara dan rakyat adalah untuk mengatasi wabak Covid-19. Rakyat Malaysia belum menang lagi.

Tuntutan supaya Parlimen dibuka adalah untuk menggembleng semua fikiran bagi mengatasi wabak ini tanpa mengira parti politik. Iaitu secara inklusif.

Tetapi bagi mereka yang tertumpu pada menyerang PH, ada tiga isu yang sering digunakan dengan kandungannya tidak mempedulikan fakta, berunsur fitnah, penuh dengan andaian dan sekurang-kurangnya menimbulkan keraguan yang membangkitan rasa takut serta terancam.

Tiga isu itu ialah, segala keburukan Anwar sepanjang hidupnya. Kedua, isu kepentingan mempertahankan kerajaan Melayu-Islam. Ketiga, isu orang Melayu dan agama Islam terancam baik di peringkat dalam negara mahupun luar, serantau malah global.

Posting-posting itu mula rancak setelah ada tekanan dari pembangkang supaya sidang Parlimen dibuka ekoran titah Yang di-Pertuan Agong mewakili Majlis Raja-raja selepas mesyuarat mereka itu Khamis lalu.

Jadi, ada suasana usaha mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional sama ada berbentuk pembelaan mahupun serangan kepada pihak pembangkang.

Maka tujuannya adalah untuk menarik sokongan orang ramai supaya tidak menyokong Anwar dan PH. Perang posting antara pendokong pihak-pihak politik berlaku dalam dunia maya khususnya media sosial semakin tajam.

Ada yang berbentuk kenyataan rasmi, pendapat mahupun kecaman menggunakan bahasa biadab yang datangnya dari kedua-dua pihak.

Namun, dilihat bahawa posting yang ditular melalui kumpulan WhatsApp adalah lebih sensitif dan dipercayai berkesan kerana mengganggu jiwa pembacanya.

Ini kerana kumpulan WhatsApp ini adalah jaringan tertutup. Ia tidak terbuka seperti Facebook, Twitter dan aplikasi media sosial lain.

Melalui kumpulan WhatsApp, posting bersifat fitnah serta memainkan sentimen perkauman dan keagamaan mudah disebarkan. Walaupun kumpulan WhatsApp ini tertutup tetapi rangkaiannya berkait-kait menjadikan penularan itu luas.

Lebih-lebih lagi ia memasuki kumpulan-kumpulan yang asal kewujudannya bukan bertujuan politik. Umpamanya kumpulan kejiranan, surau. masjid, alumni, tempat kerja dan perniagaan.

Walaupun kumpulan ini bukan politik tetapi ahlinya tetap menggunakannya untuk menyebar propaganda parti masing-masing.

Bagi admin yang tidak mengawal, penularan bahan politik ini bukan saja mengelirukan tetapi boleh memecah-belahkan anggota kumpulan berkenaan.

Di sebelah pihak pendukung PH pun menyebarkan posting politik. Begitu juga dengan penyokong Mahathir dan Pejuang yang turut mengkritik kerajaan PN.

Malah banyak kalangan Umno juga turut menyerang PN walaupun pemimpin mereka adalah sebahagian daripada kerajaan.

Apa yang dijadikan isu adalah soal dasar dan pentadbiran iaitu kegagalan kerajaan PN dalam mengawal wabak Covid-19 dan mengurus ekonomi negara. Selain itu, kritikan juga dilemparkan terhadap pemimpin-pemimpin tertentu PN yang tidak menunjukkan prestasi.

Selain itu, tentulah isu mengenai pengkhianatan bekas Ahli Parlimen PH yang kini menyertai dan menyokong kerajaan PN sentiasa diungkitkan. Bagaimana kerajaan PN mempunyai Kabinet besar dan lantikan politik dibuat sebagai ganjaran juga akan sentiasa dicanang.

Tetapi di pihak pendukung PN, khususnya apabila mereka tertekan dan terdesak sama ada bimbang kerajaan tumbang kerana kekurangan majoriti, atau mungkin mereka mendahului suasana berkempen, tiga isu yang disebut di atas akan dimainkan.

Sebahagian daripada mereka menggunakan isu-isu berkenaan hanya kerana untuk meraih sokongan prang ramai supaya terus menyokong PN dan menolak PH. Tetapi sebahagiannya pula sememangnya mempercayai isu-su itu.

Ia sudah jadi sebahagian fahaman politik mereka. Iaitu Malaysia mesti diselamatkan daripada Anwar dan PH, walau apa pun terjadi. Maknanya Anwar dan PH adalah lebih bahaya daripada perkara-perkara lain.

Oleh itu dirasakan kerja-kerja tidak beretika dianggap perkara kecil berbanding dengan kemaraan Anwar dan PH yang dianggap sebagai satu ancaman. Kerja-kerja etika itu termasuklah buat berita palsu.

Ada satu posting yang mengungkit kisah-kisah dulu Anwar.

Ia merupakan suatu peringatan bagi orang dahulu dan pendedahan bagi generasi baharu. Anwar melalui liku-liku hidup dan perjuangan yang luar biasa sebagai ahli politik.

Dari masa pelajar beliau sudah aktif berjuang. Sepanjang hidupnya, seperti orang lain, tentulah beliau ada membuat keputusan yang betul, dan ada juga yang salah. Itu lumrah.

Atas tindakannya itu, beliau meraih sokongan, dan juga penentangnya. Maka tidak hairanlah sebahagian ahli PKR terus menyokong beliau.

Selain itu, sebahagiannya seperti Azmin Ali dan penyokong-penyokongnya meninggalkan beliau. DAP dan AMANAH terus menyokong beliau. Sementara Mahathir, Pejuang, PN dan Umno terus menolak beliau. Pendirian masing-masing.

Posting anti-Anwar membangkitkan isu-isu lama seperti hubungan rapat lama beliau dengan kumpulan penggalak demokrasi Amerika dan neokonservatif. Gambaran yang dibawa ialah seolah-olah Anwar agen Amerika. Fahaman politik PKR pula dianggap sebagai liberal.

Sementara istilah Muslim Demokrat yang digunakan terhadap Anwar dipandang secara serong.

Sebagai aktivis pelajar yang berkait dengan ABIM pada tahun 1970-an, tentulah beliau mendapat jemputan mengikut pelbagai program anjuran badan-badan yang ditaja oleh Amerika dengan sekutu-sekutunya seperti Arab Saudi dan Qatar.

Pada masa itu, persaingan geopolitik adalah pertembungan antara Amerika dengan Soviet Union. Umumnya orang Islam memihak pada Amerika kerana Soviet adalah komunis. Orang Islam bersikap anti-Amerika hanya dalam soal Palestin dan Iran.

Tidak hairanlah Amerika secara langsung atau melalui sekutunya membantu badan-badan pelajar Islam bagi menentang komunis. Perkara ini panjang untuk dihuraikan dan perlu rencana khusus untuk ini.

Selepas Soviet tumbang, ancaman kepada Amerika adalah dari negara-negara seperti Iraq, Iran, Libya, Syria dan Korea Utara. Banyak negara Islam yang menjadi sekutu pada Amerika. termasuk Turki di bawah pimpinan Reccep Erdogan yang naik melalui demokrasi.

Amerika mahu menggalakkan demokrasi di negara-negara Islam supaya kerajaan yang dipilih rakyat tidak anti-Amerika. Maka timbul konsep Muslim demokrat. Panjang juga perkara ini untuk dihuraikan.

Walaupun kini projek demokrasi di negara-negara Islam yang ditaja Amerika itu gagal dan Erdogan bukanlah tokoh Muslim demokrat yang disukai Barat, tetapi secara jujur, tentulah orang Islam juga mahukan demokrasi. Iaitu rakyat bebas memilih kerajaan sendiri dan bebas menentukan cara hidup masing-masing.

Orang Islam umumnya menolak ekstremisme dan terorisme. Maka setiap pemimpin negara ini, walau apapun pengalamannya mesti memikirkan kepentingan negaranya dan bukannya kuasa asing.

Malaysia dari sejak kemerdekaan lebih cenderung pada Barat berbanding Timur, iaitu komunis. Walaupun dasar luar negara adalah berkecuali dan pendirian untuk menyokong Palestin adalah tegas, tetapi Malaysia tetap cenderung pada Barat.

Perkara ini tidak akan berubah walaupun pemimpin negara bertukar. Mahathir pernah anjurkan Dasar Pandang Ke Timur, iaitu ke Jepun bukannya China. Jepun adalah sekutu Amerika.

Walaupun Malaysia mesra dengan China tetapi rakyat negara ini terus lebih selesa dengan Amerika. Britain, Australia dan Eropah.

Isu kedua yang akan dicanangkan ialah kerajaan Melayu-Islam. Begitu juga dengan isu ketiga iaitu orang Melayu dan Islam terancam. Perkara ini lebih pada memainkan sentimen daripada berfikiran rasional.

Perkara ini perlu diulas pada masa lain. Tetapi apa yang hendak disebut di sini ialah semua kerajaan yang ditubuhkan di negara ini memerlukan sokongan bukan Melayu.

Malah kerajaan PN juga mengambil sokongan MCA, Gerakan  dan parti-parti bukan Melayu-Islam dari Sarawak dan Sabah. Kerajaan Melayu-Islam hanyalah gimik politik.

Berasa sentiasa terancam adalah satu paranoia atau takut pada bayang-bayang. Untuk mengukuhkan kedudukan orang Melayu, caranya bukanlah melalui sentimen atau dasar perkauman.

Itu memburukkan lagi keadaan. Survival Melayu hendaklah dilihat dalam konteks Malaysia dan ASEAN yang bersatu. Di peringkat antarabangsa, pengukuhan OIC, Komanwel dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali boleh turut menyumbang.

Tetapi langkah pertama untuk semua itu ialah berusaha untuk bangkitkan semula Malaysia.

Tiada ulasan: