"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno beri 14 hari untuk kerajaan panggil sidang Parlimen

FMT Reporters

PETALING JAYA: Umno memberi 14 hari kepada kerajaan Perikatan Nasional untuk memanggil sidang Parlimen susulan titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu supaya Dewan Rakyat bersidang semula secepat mungkin.

Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan hari ini berkata, kegagalan kerajaan mematuhi titah itu dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati institusi raja-raja.

“Sebagai sebuah parti yang diasaskan atas tujuan memelihara dan membela institusi Raja-raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan Umno, mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi akan diadakan bagi memuktamadkan tindakan selanjutnya.”

Rabu lalu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin untuk membahaskan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara kerana menyedari peranan penting Parlimen bagi membincangkan isu berkaitan Covid-19.

Ia disusuli kenyataan bersama Raja-raja Melayu yang berpandangan tiada keperluan untuk darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos dan menggesa Dewan Undangan Negeri bersidang semula secepat mungkin.

Zahid berkata, Parlimen perlu bersidang segera untuk membincangkan pelbagai tuntutan dan harapan rakyat yang dalam kesempitan menghadapi Covid-19, selain memastikan ketelusan dalam pentadbiran kerajaan.

“Tidak perlulah berdolak-dalik lagi istilah ‘secepat mungkin’ dan ‘segera’ yang digunakan dalam kenyataan media perihal sidang Parlimen, yang hakikatnya menzahirkan kesepakatan Agong dan Raja-raja pemerintah.”

Tiada ulasan: