Zikri Kamarulzaman
Jika ada mana-mana pihak menunggu senarai nama 25 ahli parlimen BN yang menolak kepimpinan Ahmad Zahid Hamidi, nampaknya mereka perlu menunggu untuk tempoh yang belum dapat ditentukan.
Hal itu kerana Nazri Aziz memberitahu Malaysiakini, senarai berkenaan hanya akan didedahkan oleh 'jurucakap' kumpulan berkenaan iaitu Bendahari Agung BN, Hishammuddin Hussein.
Waktunya, menurut Nazri, apabila Hishammuddin berasa detik tersebut sudah sampai.
Sehingga sampai masa yang dimaksudkan itu, kata Nazri, dia akan bertindak sebagai bercakap bagi pihak kumpulan terbabit.
"Saya adalah wakil mereka. Tak perlu untuk mereka (25 ahli parlimen terbabit) untuk tampil kerana kami tak mahu mengelirukan keadaan.
"Perakuan (bersumpah) itu ada pada Hishammuddin, bila perlu Hishammuddin akan tunjukkan senarai tu," katanya merujuk kepada akuan bersumpah (SD) yang dikumpul sebelum ini.
SD berkenaan kata Nazri adalah bukti sokongan ahli parlimen terbabit agar ahli parlimen Semborn itu mewakili mereka berbincang dengan Yang di-Pertuan Agong.
Anggap boleh jadi beban
Ini dilaporkan berkaku ketika Agong menerima menghadap pemimpin politik awal bulan ini dan dibuat sebagai tanda mereka tidak lagi menyakini Ahmad Zahid yang didakwa cuba membawa Umno bekerjasama dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun ahli parlimen Padang Rengas itu berkali-kali menegaskan SD tersebut bukan bermakna mereka menyokong Hishammuddin menjadi perdana menteri atau timbalan perdana menteri.
Sementara itu Nazri juga membalas kenyataan Pengarah Pilihan Raya Umno Malaysia, Tajuddin Abdul Rahman, yang mengulas mengenai dakwaan dibuatnya.
Dalam responnya Tajuddin berkata dia "kasihan" kepada Nazri dan mempertikaikan mengapa hanya dia seorang saja yang bersuara sedangkan baki 24 ahli parlimen lain mendiamkan diri.
"Tajuddin bukan salah seorang daripada 25 ahli parlimen tu...
"Konon dia kasihan kepada saya. Saya yang kasihan kepada dia sebab kami tak mahukan dia," kata Nazri.
Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menambah kumpulannya tidak mahukan Tajuddin terbabit kerana ahli parlimen Pasir Salak itu dianggap sangat kontriversi dan boleh menjadi beban kepada mereka.
Dalam perkembangan berkaitan Nazri mengesahkan ada lima ahli parlimen menandatangani SD berasingan untuk mempertahankan keputusan perhimpunan agung parti untuk tidak bekerjasama dengan Anwar serta DAP, selain memutuskan hubungan dengan Perikatan Nasional apabila tiba waktu PRU ke-15 nanti.
SD berkenaan, katanya, bermaksud ahli parlimen terbabit juga tidak menyokong Ahmad Zahid lagi.
"Sebab Zahid nak bersama Anwar dan DAP," katanya.
Untuk rekod pada Okt tahun lalu Ahmad Zahi yang juga bekas timbalan perdana menteri didakwa menandatangani surat kepada Agong yang menyatakan ikrarnya menyokong Anwar.
Pejabat Ahmad Zahid mendakwa surat itu palsu namun Nazri dan kumpulannya mendakwa ia adalah tulen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan