"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dari menipu 440 NGO hingga membisu tiga negeri, Pas bernafsu gugat kuasa Raja-Raja Melayu

Dari menipu 440 NGO hingga membisu tiga negeri, Pas bernafsu gugat kuasa Raja-Raja Melayu

SENATOR RAJA BAHRIN SHAH

Sangat ketara tiga negeri diterajui Pas iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah yang juga merupakan tiga negeri majoriti rakyat Melayu Islam telah meremehkan dan membelakangkan titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu untuk segera mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ironinya, tiga negeri majoriti orang Melayu Islam tradisi dan konservatif yang bertindak paling tidak menunjukkan hormat langsung kepada institusi Raja-Raja.

Titah Yang di-Pertuan Agong pada awal tahun lalu bahawa Parlimen boleh bersidang waktu darurat telah disambut Perdana Menteri dengan membisu dan seolah-olah pekak.

Kali ini titah Yang di-Pertuan Agong dengan sokongan sembilan Raja-Raja Melayu untuk Parlimen dan DUN bersidang secepat mungkin disambut positif segera oleh semua lapan negeri kecuali tiga negeri konservatif Melayu Islam yang dipimpin oleh Pas, sebuah parti Islam.

Pas terkenal sebagai parti yang ahli-ahlinya wala’ atau sangat taat tidak berbelah bahagi kepada pemimpin utama mereka.

Soalan hari ini, adakah ketaatan kepada pemimpin Pas sendiri telah jauh melebihi taat setia kepada Raja-Raja negeri dan negara dalam masa Malaysia menghadapi situasi krisis?

Rukun Negara yang kedua menyatakan – Kesetiaan kepada Raja dan Negara, sebagai amalan rakyat Malaysia. Pas kebelakangan ini kelihatan tidak begitu menghormati rukun negara kedua ini.

Setiausaha Agung Pas , yang merupakan Menteri Undang-undang, telah meremehkan titah Yang di-Pertuan Agong untuk Parlimen dan DUN bersidang secepat mungkin dengan menyatakan, dengan ketawa kecil, Baginda tidak menyebut tarikh pun.

Timbalan Presiden Pas pula dengan sinis menyatakan titah Baginda mengikut perancangan kerajaan tanpa menyentuh gesaan Baginda untuk Parlimen bersidang secepat mungkin.

Selepas titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu tentang sidang DUN disegerakan, lapan negeri diterajui oleh Bersatu, Umno, PKR dan DAP semuanya akur kecuali negeri-negeri di terajui Pas menunjukkan trend yang amat membimbangkan.

Adakah pendirian wala’ kepada pemimpin Pas dalam parti sekarang beralih menjadi pendirian wala’ dalam struktur pemerintahan negeri dan negara juga sekarang?

Pas kelihatan mendahulukan perintah dan pendirian pemimpin parti mereka dari titah Raja-Raja di negeri mereka.

Apa terjadi kepada ajaran Presiden Pas selama ini untuk taat kepada Raja-Raja sebagai ketua agama Islam? Adakah selepas menjadi kerajaan, Pas berubah pendiriaan dengan mendadak?

Di Perak, ADUN Pas yang dititahkan menghadap Sultan semasa proses pertukaran Menteri Besar tempoh hari telah ingkar menghadap.

Setelah menjadi kerajaan Malaysia dan negeri, adakah Pas mempunyai sikap begitu angkuh sehinggakan Raja-Raja pun dipandang begitu remeh?

Selepas tujuh hari, sehingga hari ini masih tidak ada seorang pemimpin Pas pun, dari Presiden hingga ke pemimpin peringkat negeri, menyambut titah untuk bersidang dewan negeri dan Parlimen secepat mungkin.

Ini berbeza dari pendirian semua parti parti lain di Malaysia yang telah menyambut baik cadangan tersebut.

Sikap Pas untuk ‘ bersaing pengaruh ‘ dengan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam telah kelihatan semasa Harakah, lidah rasmi Pas, menyiarkan berita kononnya 440 NGO ‘Islam’ kononnya menyokong darurat disambung kerana mereka sudah menjangka Raja-Raja tidak akan bersetuju ianya disambung.

Kenapa Pas guna NGO ‘Islam’ dan tidak hanya NGO biasa melainkan mereka sengaja ingin ‘bersaing’ pengaruh dengan Raja-Raja yang merupakan ketua agama Islam?

Tindakan Pas memalsukan banyak nama NGO Islam yang tidak mengizin atau mengetahui pun nama mereka dimasukkan dalam senarai 440 nama tersebut, membayangkan perancangan kotor serta terdesak untuk cuba ‘mengugat’ pengaruh Raja Raja hari ini.

Banyak contoh hari ini menunjukkan Pas yang baharu menjadi kerajaan sejak tahun lalu telah mabuk kuasa mempunyai cita-cita nafsu yang lebih tinggi cuba bersaing pengaruh dengan Majlis Raja-Raja sebagai ‘pemimpin agama’ Islam.

Pengaruh luas Pas dalam kerajaan hari ini telah kelihatan di mana Amanat Presiden Pas, Haji Hadi Awang, di Banggol Peradong yang telah mengkafirkan sesama Islam telah ‘hilang’ dipadamkan dari portal JAKIM oleh tangan ghaib untuk menutup kesalahan besar mereka.

Pas ada agenda dan nafsu yang sangat besar untuk mendominasi negara termasuk mengugat pengaruh dan kuasa Raja-Raja Melayu. Mungkin mereka telah mengkaji dan berminat sejarah Iran.

Ini hanya baru permulaannya.Setelah merasa kelazatan kuasa serta kedudukan, mungkin Raja-Raja Melayu menjadi sasaran mereka seterusnya untuk terus kekal berkuasa dengan memperalatkan agama Islam sepenuhnya tanpa apa-apa saingan.

Tiada ulasan: