"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Presiden Pas keluar fatwa ikut selera politik demi kuasa

MALAYSIA DATELINE

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan terbarunya pada 19 Jun 2021 lalu telah memberikan amaran kepada orang muda dalam negara ini supaya tidak terpengaruh dengan Pakatan Harapan (PH) yang dilabelkan beliau sebagai ‘melampau terhadap Islam’.

Mengulas perkara ini, AJK AMANAH Nasional Faiz Fadzil berkata, Fatwa politik Hadi Awang yang berubah-ubah, flip-flop dan u-turn ini dilihat dibuat mengikut selera politik Pas yang menggunanakan agama untuk justifikasi sesuatu tindakan politik.

Katanya, sesuatu fatwa politik Duta Khas Perdana Menteri Malaysia ini tidak lagi dibuat berdasarkan disiplin ilmu dan maslahat.

“PAS kini ibarat kacang lupakan kulit, yang boleh meninggalkan kekasih lama untuk mendapatkan kekasih baru.

“Asalkan demi kuasa, tidur sebantal lain-lain sijil nikah pun tidak apa. Dengan begitu banyak isu yang menjerut kerajaan gagal PN hari ini terutama kegagalan menangani pandemik Covid-19, kelumpuhan ekonomi dan kelemahan proses vaksinasi, Presiden Pas cuba menjadikan PH sebagai kambing hitam dengan menunggang sentimen perkauman dan agama,” kata beliau.

Menurut Faiz, stigma PH anti-Islam sengaja dicipta bagi merendah-rendahkan pemikiran orang muda yang semakin celik politik dan demokrasi.

Dalam kenyataan tersebut juga, beliau menyebut bahawa adalah haram untuk bersama musuh agama. Ini adalah fatwa politik terbaru Presiden Pas.

Namun, katanya jika disorot kembali perjalanan politik Presiden PAS ini, beliau seringkali mengeluarkan fatwa politik yang berubah-ubah, flip-flop dan u-turn.

Pada 1981, beliau melabelkan Umno sebagai kafir dan haram untuk menyokong Umno.

Tetapi, kini katanya Pas pula bersama Umno dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan turun berkempen menyokong calon Umno dalam beberapa pilihanraya kecil (PRK) pasca PRU-14 seperti di PRK Slim.

“Bertambah parah apabila PAS berkempen untuk MCA di PRK Tanjung Piai walaupun MCA kuat menentang hudud. Hudud dianggap nyawa PAS, tetapi kini dipajak kepada MCA.

“Pas pernah bersama DAP membentuk kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Perak dan Selangor (2008-2018), namun kerana ingin bersama Umno, DAP dijadikan kambing hitam dengan dilabelkan anti-Islam.,” katanya.

Begitu juga dalam isu RUU355 dijadikan alat perpecahan suatu permuafakatan nasional, tetapi kini alat itu pula usang ditelan zaman.

Fatwa politik Presiden PAS untuk menubuhkan kerajaan PN adalah berasaskan kerajaan Melayu-Islam.

“Tetapi, di manakah Melayunya dan di manakah pula Islamnya? Israel boleh menceroboh kedaulatan negara, RUU355 belum dibentangkan kerajaan PN, kempen BMF untuk menaikkan ekonomi orang Melayu Islam tidak menjadi polisi negara, aktiviti judi semakin berleluasa, kes kematian Allahyarham Adib tidak selesai, kluster kayangan mendiskriminasi rakyat marhaen, kehidupan rakyat susah sehingga masalah air di Kelantan tidak selesai, pemimpin pula bermewah dengan Mercedes, aktiviti pembalakan merosakkan alam tanpa kawalan dan banyak lagi contoh lain yang menunjukkan tiadanya roh kerajaan Melayu-Islam dalam pemerintahan negara hari ini.

“Fatwa yang dinantikan rakyat adalah apa pula hukum bersama dengan mereka yang menjadi pengkhianat? Kerajaan PN ditubuhkan atas gerakan beberapa bekas pemimpin PH yang khianat dan keluar parti dan bersekongkol dengan UMNO, BN dan PAS menubuhkan kerajaan PN.

“Tanpa PAS, tidak mungkin PH jatuh dan kerajaan PN ditubuhkan. Pengkhianatan ini adalah satu malapetaka besar kepada politik negara kerana ia satu pengkhianatan kepada mandat dan amanah rakyat dalam PRU ke-14 lalu. Undi rakyat kepada PH ibarat satu perjanjian sosial yang perlu dihormati.

“Maka, ianya tidak boleh dikhianati. Allah berfirman dalam surah al-Anfal ayat 58 yang bermaksud: “Jika kamu mengetahui satu pengkhianatan dari satu golongan, maka kembalikanlah perjanjian itu kepada mereka dengan cara yang jujur. Sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang berkhianat”,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan: