"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Doktor letak jawatan, beri notis 24 jam, kata kumpulan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Kumpulan Hartal Doktor Kontrak berkata, doktor memberi notis 24 jam kerana kepenatan dan kecewa dengan kekurangan peluang kerjaya.

Dalam satu kempen media sosial, Hartal Doktor Kontrak menggesa doktor kontrak bermogok pada 26 Julai ini, jika kerajaan gagal menyelesaikan masalah penempatan tetap mereka.

Wakil daripada Hartal Doktor Kontrak sebelum ini memberitahu FMT, tidak banyak insentif untuk doktor kontrak kekal di perkhidmatan awam dan kekurangan peluang untuk doktor junior mengembangkan kerjaya mereka, sama ada melalui ijazah sarjana atau mengambil pengkhususan.

“Doktor meletak jawatan dengan notis 24 jam. Hanya kerana terlalu letih dan tidak boleh bertahan lagi,” menurut catatan di Twitter Hartal Doktor Kontrak semalam.

Turut disertakan dalam catatan itu ialah gambar jadual kerja yang menunjukkan seorang kakitangan sudah meletak jawatan. Tiada maklumat mengenai hospital atau kemudahan perubatan yang diberikan.

“Terima berita ramai rakan bukan sahaja mengambil cuti kecemasan, tetapi mereka meletak jawatan,” menurut pengguna Twitter @mustaphakamal93 dalam catatan di Twitter Hartal Doktor Kontrak.

“Jelas mereka kepenatan dan kecewa dengan KKM (Kementerian Kesihatan),” kata @mustaphakamal93, yang profilnya menunjukkan beliau ialah doktor sambilan.

Turut disertakan dalam catatan itu ialah gambar surat peletakan jawatan seorang pegawai kontrak Gred UD41 yang berkhidmat di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang.

Surat peletakan jawatan yang dimuat naik ke Twitter Hartal Doktor Kontrak.

Notis 24 jam yang bertarikh 19 Julai itu menyatakan alasan peletakan jawatan ialah sebagai pegawai perubatan kontrak, tidak mendapat jawatan tetap, tidak layak mengambil ijazah sarjana dan masa depan tidak jelas.

Satu lagi catatan di Twitter Hartal Doktor Kontrak menunjukkan surat peletakan jawatan seorang pegawai kontrak Gred UD41 yang menyatakan beliau mahu mencari peluang pekerjaan di sektor swasta dan melanjutkan pelajarannya.

Sistem kontrak mengehadkan pegawai perubatan kepada lima tahun perkhidmatan dalam sektor awam, selepas itu mereka perlu ke sektor swasta atau mengambil pengkhususan atas perbelanjaan sendiri.

Lebih 20,000 doktor berkhidmat dengan kerajaan di bawah sistem kontrak, yang diperkenalkan pada 2016 untuk menangani masalah lebihan graduan perubatan.

Dalam wawancara dengan FMT sebelum ini, wakil Hartal Doktor Kontrak berkata “atas kertas, kami tentunya boleh letak jawatan kerana kami ialah doktor kontrak”.

“Kami tidak mempunyai sebarang hubungan dengan kerajaan atau KKM,” kata wakil itu yang enggan dinamakan.

“Bagaimanapun, kami mahu terus merawat pesakit, memastikan orang ramai mendapat penjagaan kesihatan yang mereka perlukan.”

Jurucakap KKM ketika dihubungi berkata, isu itu di bawah bidang kuasa Bahagian Sumber Manusia yang dipantau Ketua Setiausaha KKM (Mohd Shafiq Abdullah).

“Kami akan memberikan maklum balas selepas mendapatnya,” kata jurucakap itu.

Tiada ulasan: