"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahiaddin perlu bawa ‘undi percaya’ jika tidak mahu pembangkang bawa usul tidak percaya

SURI LAILA

Jika Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin yakin mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat, beliau seharusnya mengemukakan usul undi percaya terhadap dirinya sendiri.

Naib Presiden AMANAH Nasional, Datuk Seri Mahfuz Omar berkata, Mahiaddin boleh mewakilkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang dan Parlimen), Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk membawa usul berkenaan.

Dengan itu katanya, blok pembangkang tidak perlu membawa usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri.

“Mahiaddin hanya perlu membawa undi percaya kepada dia. Dia boleh mewakilkan kepada menteri hal ehwal Parlimen, Takiyuddin untuk membolehkan membawa satu usul percaya terhadap perdana menteri untuk kita lihat pm mempunyai bilangan mencukupi ataupun tidak.

“Usul percaya pun dia tak boleh bawa, maknanya dia sendiri tak percaya yang dia mempunyai kepercayaan Ahli-ahli Parlimen dalam menyokong beliau untuk terus melayakkan dan mengekalkan diri sebagai pm.

“Inilah sejarah politik negara kita yang mempunyai seorang pm yang percaya bahawa dia tidak ada kepercayaan daripada Ahli-ahli Parlimen,” katanya dalam satu wacana politik Kelantan semalam.

Tiada ulasan: