"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Serangan kapak: Remaja didakwa bunuh pelajar

FMT Reporters

PETALING JAYA: Remaja berusia 16 tahun didakwa di mahkamah Singapura, atas tuduhan membunuh seorang pelajar dalam kejadian di Sekolah Tinggi River Valley (RVHS).

Dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap pelajar lelaki berusia 13 tahun antara jam 11.46 pagi hingga 11.44 pagi dalam tandas di tingkat empat sekolah yang terletak di Boon Lay Avenue.

Tertuduh yang juga pelajar tingkatan Empat, hadir di mahkamah menerusi pautan video dari tempat dia ditahan reman.

Dia yang mengenakan baju T berwarna merah hanya menjawab ‘ya’ kepada hakim yang bertanyakan beberapa soalan kepadanya.

Pihak pendakwa raya memohon mahkamah supaya tertuduh direman di Pusat Perubatan Changi untuk menjalani penilaian psikiatri.

“Yang Arif, hasil siasatan awal mendedahkan remaja 16 tahun ini pernah menjadi pesakit di Institut Kesihatan Mental (IMH).

“Pada 2019, polis menyiasat satu insiden cubaan membunuh diri membabitkan remaja berusia 14 tahun pada ketika itu. Susulan kejadian, dia dibawa dalam tahanan demi keselamatannya dan kemudiannya dirujuk ke IMH untuk penilaian.

“Dia dibenarkan keluar selepas itu. Mengambil kira keadaan ini, kami memohon supaya dia menjalani penilaian psikiatri,” katanya menurut laporan Channel News Asia.

Peguam bela remaja itu, Peter Keith Fernando mengesahkan kejadian itu berlaku ketika anak guamnya berada di Tingkatan Dua.

Katanya, ibu bapa tertuduh mendapatkan khidmatnya untuk mewakili anak mereka.

Bagaimanapun katanya, mereka memaklumkan tidak dapat hadir ke mahkamah pagi ini.

Tidak ada seorang pun berada di dalam mahkamah kecuali pegawai mahkamah, anggota polis dan pihak media.

Sebelum itu, polis menerima panggilan bantuan daripada pihak sekolah kira-kira jam 11.40 pagi semalam dan mangsa didapati terbaring di tandas sekolah dengan beberapa kesan kecederaan.

Dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan sebilah kapak dijadikan sebagai barang kes di mahkamah.

Hasil siasatan awal mendapati tertuduh dan mangsa tidak mengenali antara satu sama lain, tetapi polis masih meneruskan siasatan untuk mengenal pasti motif serangan.

Hakim kemudiannya memerintahkan tertuduh direman untuk menjalani pengawasan psikiatri selama tiga minggu dan perlu hadir ke mahkamah pada 10 Ogos depan.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati. Bagaimanapun, mengikut Seksyen 314 Kanun Prosedur Jenayah, hukuman mati tidak boleh dijatuhkan terhadap tertuduh berusia di bawah 18 tahun ketika kesalahan dilakukan.

Tertuduh sebaliknya akan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.

Polis dalam kenyataannya mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kes itu bagi menghormati keluarga mangsa.

Tiada ulasan: