"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dakwa difitnah, Ebit buat laporan polis terhadap Nadir Al-Nuri, Caprice

Faiz Zainudin

Ebit Lew membuat laporan polis menafikan tohmahan dan fitnah ke atas dirinya susulan bantuan ke Gaza, Palestin.

PETALING JAYA: Pendakwah Ebit Lew, hari ini, menafikan segala tuduhan dilemparkan di media sosial termasuk daripada Nadir Al-Nuri dan penyanyi rap, Caprice berkaitan isu misi kemanusiaan di Semenanjung Gaza, Palestin, baru-baru ini.

Katanya, beliau pada awalnya tidak mahu menjawab atau memanjangkan isu itu, bagaimanapun ia semakin hangat diperkatakan menyebabkannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, petang tadi.

“Saya memang lama diam, saya tak mahu cakap apa-apa kalau saya jawab orang balas benda itu akan menjadi-jadi sebab itu saya diam, tapi sejak dua menjak ini isu ini menjadi viral selepas ‘live’ Nadir Al-Nuri dan Caprice. Saya buat laporan polis kerana ia sangat mengganggu dan menyedihkan.

“Saya buat laporan polis juga menafikan dakwaan dan tuduhan itu semua (yang disebar di media sosial) ia tidak berasas dan fitnah semata-mata, saya boleh jawab sekelip mata semua tuduhan itu, demi Allah semua tuduhan itu tidak berasas,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis, sambil memaklumkan isu tersebut turut memberi kesan kepada keluarganya termasuk keluarga pasukannya.

Katanya, laporan polis itu juga dibuat kerana tidak mahu isu berkenaan terus dipanjangkan.

“Antara nama yang disebut dalam laporan polis, Nadir Al-Nuri, Caprice dan sesiapa yang kongsi kenyataan mengaitkan (fitnah) terhadap saya,” katanya.

Ebit berkata, semua tuduhan fitnah dilemparkan ke atas dirinya akan dijawab secara terperinci dalam masa terdekat. 

“Dalam masa terdekat saya akan terangkan semua, tuduhan itu melampau dan menyedihkan, ia fitnah semata-mata saya ada bukti tentang tuduhan itu dan sepatutnya orang yang tuduh keluarkan bukti, tapi saya boleh keluarkan bukti walaupun saya yang dituduh.

“Saya tolong (penduduk Gaza) dengan duit saya sendiri, saya tak pernah buka satu tabung untuk misi ke Gaza ini, saya guna duit saya sendiri,” katanya.

Sementara itu, peguam Ebit, Hasnal Rezua Merican, berkata laporan dibuat supaya polis menyiasat jika ada unsur fitnah berbentuk jenayah.

Katanya, pihaknya juga tidak menolak akan menghantar saman sivil kepada mereka yang memfitnah.

Caprice mencetuskan kontroversi selepas mendedahkan tegurannya kepada Ebit kerana mendakwa menerima rungutan daripada penduduk Gaza berhubung cara pendakwah berkenaan menghulurkan bantuan baru-baru ini.

Sementara itu, Nadir yang juga ketua pegawai eksekutif sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Cinta Gaza Malaysia, mendakwa pasukan misi Ebit membayar kos yang tinggi kepada sebuah syarikat bagi menguruskan kemasukan mereka ke Gaza dan tidak menggunakan khidmat NGO tempatan di Gazaa

Tiada ulasan: