"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas ketua bahagian MCA Marang maut ditembak jiran, anak saudara parah

FMT Reporters

Anggota polis mengangkat mayat seorang lelaki yang maut ditembak jirannya dipercayai menggunakan senapang patah dalam kejadian di Taman Raya Wakaf Tapai Marang Terengganu, hari ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang lelaki maut akibat ditembak dengan senapang patah oleh rakan baiknya yang juga jiran manakala anak saudaranya parah dalam kejadian di Taman Raya Wakaf Tapai, Marang, Terengganu, hari ini.

Mangsa, Fong Swee Fuan, 65, yang juga bekas ketua bahagian MCA Marang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala, anak saudaranya, Teo Hock Beng, 45, pula parah dan kini dirawat di Hospital Hulu Terengganu.

Ketua Polis Terengganu Rohaimi Md Isa berkata, dua mangsa bersama suspek dikatakan berada di kawasan rehat di taman perumahan berkenaan sebelum insiden itu berlaku.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 2 petang sebelum sepasukan pegawai dan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Rohaimi berkata, siasatan awal mendapati suspek yang berusia 56 tahun melepaskan dua das tembakan menggunakan senapang patah dipercayai milik Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ke arah kedua-dua lelaki terbabit.

“Sebelum meninggalkan lokasi kejadian, suspek ada mengeluarkan amaran yang dia mempunyai 75 butir peluru dan akan membunuh lebih ramai orang sebelum membunuh diri.

“Suspek yang melarikan diri menaiki sebuah jip bagaimanapun berjaya ditahan di kawasan kebun di Durian Mentangau, Dungun kira-kira 4.20 petang tadi.

“Kita turut merampas senjata yang digunakan suspek untuk menembak kedua-dua mangsa,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Rohaimi berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan suspek adalah kawan rapat serta tinggal di kawasan perumahan sama.

Katanya, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan dan masyarakat diminta tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini.

“Mengenai dakwaan yang mengatakan kejadian ada kaitan dengan kes judi dan minuman keras, tiada sebarang botol minuman keras atau unsur perjudian di lokasi kejadian.

“Kita sedang mengesan saksi kejadian bagi membantu siasatan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Kuala Terengganu untuk bedah siasat manakala anak saudaranya yang cedera dibawa ke Hospital Hulu Terengganu,” katanya.

Tiada ulasan: