"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Buat 3 perkara ini atau Azhar Harun letak jawatan

MALAYSIA DATELINE

Majlis Presiden Pakatan Harapan memberi kata putus kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat iaitu melaksanakan tiga perkara yang disarankan atau meletakkan jawatan.

Tiga perkara tersebut yang disarankan oleh Pakatan Harapan iaitu Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun hendaklah tidak meletakkan had 80 orang dan membenarkan semua Ahli Parlimen hadir dan berada di dalam Dewan Rakyat pada bila-bila masa mesyuarat berjalan.

Kata Majlis Presiden itu tindakan itu bagi memastikan semua Ahli Parlimen yang ingin berbahas boleh berbuat sedemikian.

Tegas Pakatan Harapan, Azhar juga hendaklah membenarkan perbahasan penuh berasaskanl usul Menteri untuk semua isu-isu yang telah dinyatakan dalam titah pandangan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah, termasuk Pelan Pemulihan Negara, Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat, pelaksanaan program vaksinasi, langkah-langkah mencegah COVID-19, serta usaha memulihkan ekonomi serta menjamin kelangsungan hidup rakyat.

“Kami tidak boleh terima sidang Parlimen yang dipanggil hanya untuk mendengar ceramah atau kuliah Menteri tanpa perbahasan penuh,” kata PH dalam kenyataan.

Dalam kenyataan bersama Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, Yang di-Pertua Dewan Rakyat perlu putuskan sama ada beliau menjunjung penuh titah pandangan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah, atau sekadar mengikut arahan Kabinet.

“Jika Yang Dipertua Dewan Rakyat merasakan beliau tidak mampu melaksana tiga perubahan ini, beliau dipelawa untuk meletakkan jawatan,” katanya.

Terdahulu, Majlis Presiden terkejut membaca kenyataan media Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang mendakwa Pakatan Harapan cuba melagakan beliau dengan Istana Negara.

Bagi Pakatan Harapan, ini bukanlah satu kenyataan yang patut dikeluarkan seorang Yang di-Pertua Dewan Rakyat, dan menggunakan bahasa yang tidak mengikut peraturan Parlimen (‘unparliamentary language’).

“Isu pokok di sini ialah keputusan-keputusan Kerajaan Perikatan Nasional berkenaan perjalanan sidang khas Parlimen tidak mencapai maksud penuh titah pandangan yang dizahir KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah.

“Sidang khas ini tiada perbahasan ke atas sebarang usul, hanya setakat mendengar kuliah Menteri, dengan kehadiran jumlah Ahli Dewan Rakyat yang tidak lengkap, dan tanpa sebarang undian terutama berkait Proklamasi Darurat.

“Maka jika Yang di-Pertua Dewan Rakyat tetap melaksanakan keputusan-keputusan Kerajaan itu, pada ketika beliau menyedari ianya tidak mencapai maksud sebenar Duli-Duli Tuanku, maka Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah turut sama mengingkari titah tersebut,” kata Pakatan Harapan.

Pakatan Harapan menegaskan bahawa titah pandangan Seri Paduka Baginda mesti dijunjung oleh Kerajaan dan juga Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat tidak perlu bimbang kerana Pakatan Harapan tidak memasukkan sebarang usul

undi tidak percaya ke atas Perdana Menteri.

“Kami hanya mahu menumpukan perhatian sidang khas ini kepada perkara-perkara penting pandemik COVID-19 dan kesusahan rakyat dalam krisis ekonomi masakini,” katanya.

Tiada ulasan: