"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

KANTOI!!!? Menteri tangguh lawatan selepas surat pengecualian kuarantin tular di media sosial

Durie Rainer Fong

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Luar Bandar Abd Latiff Ahmad menangguhkan lawatannya ke Sabah selepas menimbulkan kemarahan warganet berhubung pengecualian khas kuarantin 14 hari yang diberikan kepadanya untuk masuk ke negeri itu.

Menteri itu sepatutnya berlepas ke Sabah bersama 30 delegasinya hari ini dan memulakan lawatan kerjanya esok.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial, kementerian itu berkata lawatan bermula 15 hingga 18 Julai itu akan ditangguhkan kepada tarikh lebih sesuai berikutan lonjakan kes baharu Covid-19 yang mencecah 11,079 semalam.

“Kementerian sentiasa berhati-hati dan mematuhi operasi prosedur standard (SOP) dalam usahanya mengekang pandemik.

“Kementerian memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul berhubung perkara ini,” katanya.

Sebelum itu, sekeping surat bocor kononnya dikeluarkan oleh pejabat setiausaha kerajaan negeri yang memberi pengecualian terbabit kepada Latiff dan delegasinya, menjadi tular hingga menimbulkan kemarahan warganet di media sosial termasuk kumpulan WhatsApp.

Kebenaran khas masuk ke Sabah dan pengecualian kuarantin itu diberikan kepada delegasi kementerian dan ia tertakluk kepada penilaian risiko oleh Jabatan Kesihatan Sabah.

Turut dinyatakan dalam surat itu ialah kebenaran berdasarkan SOP kemasukan ke Sabah, di mana pelawat perlu menjalani ujian saringan RT-PCR dalam tempoh lima hari sebelum perjalanan masuk.

Ketika dihubungi, Setiausaha Kerajaan Negeri Safar Untong memberitahu FMT bahawa surat itu hanya untuk diedarkan secara dalaman.

“Surat ini tidak sepatutnya sampai kepada orang awam. Saya tidak mahu mengulas (lanjut),” katanya.

Sabah mempunyai SOP kemasukan ketat yang mengenakan setiap pelawat menjalani pengasingan selama 14 hari sama ada di pusat kuarantin digazetkan atau di rumah sendiri bagi penduduk Sabah yang pulang ke negeri itu.

Pengecualian kuarantin dalam SOP negeri itu bukan satu pilihan tetapi pertimbangan boleh dibuat selepas penilaian risiko dilakukan jabatan kesihatan.

Selepas surat itu tersebar, warganet mendakwa kerajaan bersikap pilih kasih dengan memberi layanan istimewa kepada VIP namun permintaan rakyat biasa langsung tidak dilayan walaupun ada kes kecemasan.

Mereka berkata rakyat akan berdepan dengan risiko yang tidak perlu disebabkan menteri dan delegasinya berlepas dari Semenanjung yang mempunyai kadar jangkitan terlalu tinggi dan mereka juga akan melakukan lawatan ke beberapa daerah di Sabah.

Bercakap kepada FMT, bekas menteri kesihatan Sabah Frankie Poon membidas tindakan kerajaan negeri yang memberi pengecualian kuarantin itu.

“Ini sangat mengarut. Mengapa anda membenarkan mereka semua masuk tanpa menjalani kuarantin?

“Mengapa mereka sangat istimewa (dan) mengapa orang lain tidak menerima layanan sama,” katanya sambil menjelaskan negeri itu mungkin berdepan lonjakan kes dalam beberapa minggu lagi sekiranya kerajaan negeri memberi pengecualian terbabit.

Tiada ulasan: