"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pelajar gerakkan kempen 5 tuntutan, termasuk desak PM undur

Yasmin Har Vian

Beberapa kumpulan pelajar menggerakkan kempen menuntut lima perkara, antaranya pengunduran Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Desakan itu dibuat atas alasan anggota parlimen Pagoh itu gagal mengetuai negara dalam pengurusan pandemik Covid-19.

Lima belas kumpulan - yang menamakan gabungan mereka sebagai Sekretariat Mahasiswa Marhaen (SMM) - dikesan menyebar luas kempen mereka di media sosial sehingga menjadi tular sejak semalam.

Jurucakapnya Farhan Rosli, 25, yang juga presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), berkata kempen itu dibuat berikutan “isu mahasiswa yang tidak berkesudahan”.

Graduan undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu juga berkata, kempen itu sekali gus membawa mesej mahasiswa bersama gerakan lain seperti kempen Bendera Putih dan Bendera Hitam.

Kempen Bendera Putih digerakkan bagi memudahkan penyaluran bantuan kepada pihak memerlukan semasa pandemik manakala Bendera Hitam pula sebagai tanda protes terhadap “kegagalan” kerajaan.

Selain itu, SMM juga mendesak kerajaan mengurangkan yuran universiti, memberikan vaksin kepada mahasiswa dan petugas institut pengajian tinggi serta memperkenalkan “strategi gelembung” dan menutup sektor kilang.

“Kami mencadangkan pihak Miti untuk melaksanakan strategi membataskan pergerakan pekerja kilang atau terus menutup semua kilang bagi mencegah penyebaran Covid-19 dan sekiranya menteri Miti gagal mengatasi perkara ini, beliau sewajarnya mengundur diri,” katanya.

Mereka juga menyeru agar ahli politik menghentikan sebarang bentuk drama dan pergelutan kuasa.

Sementara itu, Farhan (gambar) berkata pada 30 Jun lalu, mereka bertemu pihak Kementerian Pengajian Tinggi bagi membincangkan gesaan mereka.

“Namun begitu, ada beberapa lagi isu yang melibatkan kebajikan mahasiswa dan keadaan hidup rakyat yang tidak ditangani secara baik oleh pemerintah.

“Justeru itu, kami sepakat untuk meneruskan tekanan sehingga terhasilnya #SiswaMinta5,” kata Farhan ketika dihubungi Malaysiakini.

Tiada ulasan: