"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dr M sanggup ‘keluar’ Pejuang jika diberi peranan dalam jawatankuasa pemulihan Covid

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad berkata beliau sanggup keluar daripada parti yang ditubuhkannya itu sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberikannya peranan dalam Pelan Pemulihan Negara untuk mengatasi krisis Covid-19.

“Saya ingin memberikan fokus sepenuhnya kepada menyelesaikan masalah Covid-19. Malah, saya tidak perlu berada dalam Pejuang,” Mahathir dipetik berkata dalam rancangan bual bicara bersama pelawak Harith Iskandar malam tadi.

“Pejuang akan terus (berfungsi),” katanya.

Bagaimanapun, Mahathir berkata beliau tidak ditawarkan sebarang peranan dalam pelaksanaan PPN dalam perjumpaannya dengan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz baru-baru ini.

“Tiada tawaran untuk saya sertai jawatankuasanya. Beliau hanya tanya saya apa yang boleh dilakukan. Saya rasa beliau mahu melakukannya tanpa saya.”

“Beliau (Zafrul) hanya berikan saya al-Quran yang cantik,” kata Mahathir.

Beliau berkata mereka berkongsi idea mengenai cara menangani krisis Covid-19.

““Saya ada nyatakan mengenai bagaimana untuk kendalikan SOP (prosedur operasi standard) dan program vaksinasi. Apa yang disoalnya, saya jawab dengan jujur.

“Beliau mendengar dan mencatatkannya dalam buku nota. Saya berharap beliau akan melaksanakan beberapa perkara yang telah saya cadangkan itu,” kata Mahathir.

Mahathir berkata beliau percaya terlalu banyak politiking berlaku ketika ini dan beliau hanya mahu melakukan apa yang termampu untuk membantu rakyat.

“Saya bimbangkan penderitaan rakyat, saya tidak berminat dengan aspek politik, saya tidak berminat menjadi Perdana Menteri.

“Terlalu banyak politiking dan rakyat marah kerana kes jangkitan terus meningkat.

Tiada ulasan: