"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pendapatan rasmi Abdul Hadi tidak kurang RM764,000 setahun

ABD MALEK HUSSIN

Saya mengemaskan fail dan dokumen urusan Parlimen hari ini (30 April 2021). ‬Kebetulan saya temui satu dokumen yang menarik perhatian.‬

‪Dokumen itu ialah Pemberitahuan Pertanyaan Bertulis Dewan Rakyat, Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 mengenai jawaban rasmi Kerajaan kepada pertanyaan bertulis Soalan No.537.‬

‪Soalan itu “meminta Menteri Kewangan menyatakan senarai nama-nama Ahli Parlimen yang dilantik menjadi pengerusi badan berkanun, GLC dan duta khas sejak 1 Mac 2020 serta nyatakan elaun, gaji, emolumen yang diterima sebulan.”‬

‪Saya tertumpu kepada jawaban Menteri Kewangan mengenai Duta Khas Kepada Perdana Menteri Ke Timur Tengah.

Sebelum ini, saya seringkali ditanya oleh ramai mengenai elaun, gaji, emolumen jawatan Duta Khas Kepada Perdana Menteri Ke Timur Tengah yang disandang oleh MP Marang, Abdul Hadi Awang yang juga Presiden Pas. Saya tidak dapat memberi jawaban dengan pasti pada ketika itu.

‪Menteri Kewangan menjawab ringkas sahaja. Katanya, “Duta Khas diberikan saraan bersesuaian dengan kelayakan, tugas dan tanggungjawab yang dipikul. Amalan ini sama seperti mana pelantikan Duta Khas semasa di bawah pentadbiran terdahulu.”‬

‪Soalan No.537 yang ditanya itu spesifik, tetapi jawaban Menteri Kewangan kabur. Tidak disebutkannya berapa sebenarnya emolumen diterima sebulan untuk Duta Khas Kepada Perdana Menteri Ke Timur Tengah itu. Menteri Kewangan cuma menjawab dengan bersandarkan kepada amalan terdahulu.‬

Lalu saya pun semak amalan terdahulu.‬ Saya selidiki dan meneliti risalat-risalat Parlimen yang berkaitan bagi tahun-tahun terdahulu, khasnya yang dibentang dalam Dewan Rakyat pada masa Belanjawan 2018, 2019, 2020 dan 2021.‬

‪Saya tidak temui apa-apa keterangan dalam dokumen Belanjawan 2019, 2020 dan 2021.‬

‪Namun, saya temui keterangan yang terkandung dalam dokumen “CMD 25/2017 – Senarai Perjawatan Di Kementerian-Kementerian Dan Jabatan-Jabatan Dalam Anggaran Perbelanjaan Persekutuan, 2018 Jilid 1” yang dibentang pada 27 Oktober 2017.‬

Keterangan itu menunjukkan Duta Khas Ke India Dan Asia Selatan Dalam Bidang Infrastruktur diberikan gaji RM27,227.20 sebulan. Jawatan itu disandang oleh Presiden MIC Samy Vellu semasa pemerintahan BN.‬

‪Berdasarkan keterangan dokumen Parlimen itu dan jawapan Menteri Kewangan kepada Pertanyaan Bertulis Soalan No.537, saya boleh menyebut bahawa gaji Abdul Hadi Awang bagi jawatan Duta Khas Kepada Perdana Menteri Ke Timur Tengah ialah RM27,227.20 sebulan.‬

‪Saya boleh menyimpulkan pendapatan rasmi Abdul Hadi Awang sebulan kini, seperti berikut:‬

‪Pendapatan Rasmi:‬

‪▪️Gaji Duta Khas Kepada Perdana Menteri Ke Timur Tengah RM27,227.20 ‬

‪▪️Gaji Ahli Dewan Rakyat (Marang) RM16,000.00‬

‪▪️Pencen Menteri Besar (Terengganu) RM15,000.00‬

‪▪️Pencen Ahli Dewan Negeri (Ru Rendang) RM5,500.00‬

‪Di Jabatan Perdana Menteri, sebagai Duta Khas Kepada Perdana Menteri Ke Timur Tengah, Abdul Hadi Awang diberikan keistimewaan berpejabat dengan empat pegawai, seperti berikut:‬

‪- Setiausaha Sulit Kanan (Gaji Gred 54)‬

‪- Pegawai Khas (Gaji Gred 52)‬

‪- Setiausaha Sulit (Gaji Gred 41)‬

‪- Pembantu Khas (Gaji Gred 19)‬

‪Kesimpulannya, pendapatan rasmi Abdul Hadi Awang berjumlah tidak kurang RM63,727.20 sebulan.

Ini tidak termasuk tuntutan, ganjaran dan berbagai keistimewaan sebagai Duta Khas Kepada Perdana Menteri Ke Timur Tengah yang juga bertaraf Menteri.

Tiada ulasan: