"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Tiada kerjasama antara UMNO dan Pas di Terengganu' - Ahmad Said

Nur Fazlizai Ali

KUALA TERENGGANU: UMNO Terengganu menegaskan tidak wujud kerjasama antara kepimpinan Pas dan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) di negeri itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Said berkata meskipun dua pemimpin UMNO pusat telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan Luar Negeri namun itu tidak mengubah pendirian pimpinan UMNO Terengganu.

Katanya pendirian UMNO Terengganu tetap teguh dan tidak berganjak apatah lagi kerajaan negeri Terengganu juga tidak berlaku adil kepada wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

Antara yang disentuh Ahmad berhubung pengagihan peruntukan RM10 juta daripada kerajaan pusat bagi menangani pandemik COVID-19 tidak diberikan sama rata kepada wakil rakyat.

"Muafakat Nasional di Terengganu tiada. Macam mana mahu berpakat? Peruntukan 10 juta yang diterima tidak dibahagi sama rata, macam mana nak berpakat?" katanya.

Bekas Menteri Besar Terengganu itu berkata pihaknya telah memberikan ruang dan peluang kepada parti Pas sebelum ini untuk menjurus ke arah itu.

"Keputusan di Terengganu telah muktamad, tidak ada Muafakat Nasional.

"Kita sudah memberi ruang setahun lebih untuk berpakat," jelasnya lagi.

Luahan Ahmad itu bukanlah pertama kali kerana sebelum ini, ADUN Kijal itu dilihat lantang dalam mengkritik kepimpinan Pas.

Malah, beliau telah beberapa kali mengeluarkan kenyataan UMNO akan bertanding di semua kerusi Parlimen dan DUN pada PRU15.

Tiada ulasan: