"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tidak perlu pertikaikan raya mengejut, ia menurut syarak

MOHAMAD SAIDY ISMAIL

Pada hemat saya, setelah sebulan melalui tarbiah Ramadan, orang ramai tidak perlu mempertikaikan pengisytiharan Hari Raya Aidilfitri mengejut kerana ia dilaksanakan menurut ketetapan syarak.

Menjadi tanggungjawab ibu bapa mendidik generasi anak-anak untuk menerima apapun penetapan syarak.

Pemerintah tentunya lebih besar tanggungjawab untuk mendidik orang ramai menerima prinsip dan hukum syarak yang kita sepakati dalam apa keadaan pun, suka atau tidak.

Kita tidak boleh memutuskan untuk terus berpuasa atau berbuka berasaskan keadaan kita selesai atau tidaknya membuat persiapan raya. Kita tahu, agama tidak dibina atas asas ini.

Namun, selaras dengan misi mendidik masyarakat, pengisytiharan tarikh hari raya oleh pemerintah wajarlah mengandungi maklumat yang diperlukan oleh ummah untuk memahami duduk sebenar satu perkara.

Apa sebab hari raya ditetapkan pada hari Isnin lalu. Kita nampak anak bulan atau tidak? Apa asas kepada keputusan tersebut?

Oleh kerana kita tidak mahu budaya taklid buta, wajarlah kita membuka ufuk pemikiran orang ramai dengan mengongsikan maklumat sekadar yang patut.

Menyebut bila tarikh beraya sahaja tidak membantu memberi apa-apa kefahaman kepada masyarakat tatkala generasi kini mengutamakan maklumat faktual. Dunia dan generasi banyak berubah, agensi penguasa agama juga perlu berubah.

Selain itu, jika kaedah rukyah dan hisab terus digunakan, kefahaman terhadap konsep ini harus terus diberikan oleh pemerintah. Tok imam kampung pun setia mengulangi-ulangi kaifiyat solat sunat Hari Raya.

Selain itu, pemerintah perlu mengawal penerbitan kalendar Islam di negara ini supaya presentasinya tidak memberi gambaran bahawa tarikh hari raya Aidilfitri ditetapkan pada sekian-sekian tarikhnya.

Tiada ulasan: