"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki pandu bawah pengaruh alkohol, sebabkan kematian polis kekal bebas

Bernama

PUTRAJAYA: Seorang pengurus jualan yang didakwa memandu bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang anggota polis dan mencederakan seorang lagi kekal sebagai individu bebas selepas Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan pendakwaan untuk mendapatkan lanjutan masa bagi memfailkan notis rayuan.

Pendakwaan memohon mahkamah memberikan lanjutan masa itu bagi membolehkan mereka memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan N Mohan Rao daripada pertuduhan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan menolak permohonan itu dengan keputusan majoriti 2-1 oleh M Gunalan dan S M Komathy Suppiah manakala Ahmad Zaidi Ibrahim menentang.

Gunalan, yang mengumumkan keputusan itu, berkata pendakwaan gagal mengemukakan alasan kukuh bagi membolehkan mahkamah menggunakan kuasa budi bicaranya untuk membenarkan lanjutan masa.

Beliau berkata alasan pendakwaan bahawa ia satu kesilapan di pihak mereka kerana terlepas pandang dan gangguan komunikasi adalah tidak mencukupi untuk membenarkan permohonan bagi lanjutan masa selain tidak mempunyai merit.

Dalam penghakiman menentangnya, Zaidi membenarkan lanjutan masa kepada pendakwaan kerana berpandangan alasan yang diberikan adalah mencukupi berhubung kelewatan memfailkan notis rayuan.

Beliau berkata kelewatan memfailkan notis rayuan tidak akan memprejudiskan Mohan Rao manakala persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh pendakwaan adalah cukup serius untuk diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Pada 25 Mac tahun lepas, Mahkamah Majistret memutuskan bahawa Mohan Rao, 49, bersalah kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dengan tahap alkohol melebihi had yang dibenarkan sehingga menyebabkan kematian Konstabel Mohd Zamiri Sinsian, 25, dan mencederakan Konstabel Osman Ibrahim, ketika itu berumur 23 tahun, di Jalan Semantan menghala ke bandar pada 3.30 pagi 5 Dis 2018.

Majistret Puteri Nursheila Rahimi menjatuhi hukuman penjara empat tahun dan denda RM15,000 ke atas Mohan Rao serta mengarahkan agar lesen tertuduh digantung selama lima tahun.

Pada 31 Mei lepas, Mahkamah Tinggi mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret dan membebaskan Mohan Rao daripada pertuduhan.

Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal berkata notis rayuan sepatutnya difailkan selewat-lewatnya pada 14 Jun lepas.

Bagaimanapun, katanya beliau hanya menerima arahan untuk berbuat demikian pada 19 Jun.

Norzilati Izhani berkata pada hari sama, beliau telah memohon kebenaran untuk lanjutan masa bagi memfailkan notis rayuan itu.

Katanya terdapat kesilapan di pihak pendakwaan yang terlepas pandang untuk memfailkan notis rayuan itu dalam tempoh yang ditetapkan.

Peguam Rajan Navaratnam, yang mewakili Mohan Rao, pula berkata Peraturan 58 Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994 mewajibkan pendakwaan untuk memfailkan notis rayuan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh keputusan Mahkamah Tinggi.

Tiada ulasan: