"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes Zahid bawa sinar cerah buat PN di Simpang Jeram?

Shakira Buang

PRK JOHOR | Peluang PN untuk meluaskan pengaruhnya di Johor pada 9 Sept ini dilihat semakin cerah dengan terlepas tanpa bebas Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Malah, calon PN bagi kerusi DUN Simpang Jeram, Dr Mazri Yahya, menyifatkan kemenangan yang bakal mereka capai kelak adalah hasil daripada 'jaringan gol sendiri' pihak PH.

“Ia merupakan gol sendiri dan saya kira ia memberikan impak positif kepada PN, terutamanya pengundi-pengundi tegar dalam kalangan mereka yang mendukung DAP dan PKR pada masa lalu.

“(Keputusan mahkamah itu) secara tidak langsung akan mempengaruhi pengundi dan memberi kesan positif kepada PN.

"Saya kira mungkin kesan di sini (Simpang Jeram) memang besar dan di Pulai juga,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan masyarakat India penyokong PN di bilik gerakan utama parti itu hari ini.

Di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam pihak pendakwaan menghentikan pertuduhan ke atas Ahmad Zahid, mendorong hakim kemudian melepas tanpa membebaskan (DNAA) presiden Umno itu daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar 11 alasan diberikan timbalan pendakwa raya Mohd Dusuki Mokhtar untuk menghentikan prosiding tersebut.

Antara alasan yang diberikan ialah Ahmad Zahid membangkitkan isu "yang amat serius" melalui surat representasinya termasuk dia menjadi mangsa pendakwaan terpilih kerajaan sebelum ini.

Surat representasi itu turut menyentuh isu berkenaan siasatan yang dikatakan dibuat secara terburu-buru, cuai, pramatang dan tidak lengkap.

Menurut Mazri peluangnya untuk merampas kerusi DUN Simpang Jeram daripada parti kerajaan kini adalah besar ekoran keputusan di mahkamah semalam.

“Setakat ini, boleh dikatakan lebih kurang 70 peratus pengundi terutamanya di Simpang Jeram - yang dulunya mengundi Umno-BN - mungkin akan berpihak kepada PN," katanya.

Tambah ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu lagi sokongan dalam kalangan pengundi bukan Melayu juga memberi kesan positif kepada PN.

“Dalam pertemuan dengan pengundi dari kaum India tadi pun mereka memberikan pendapat yang sama dan insya-Allah sejumlah pengundi-pengundi India akan bersama dengan PN," katanya.

Tiada ulasan: