"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahiaddin ingin takutkan orang Melayu

HarapanDaily.com

SITI NUR ZAWANI 
Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin hanya ingin menakutkan orang Melayu apabila mendakwa kemenangan Pakatan Harapan di Parlimen Pulai akan memberi kuasa kepada Kerajaan Perpaduan untuk “sesuka hati” melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Ketika berucap dalam ceramah perdana PN di Kempas semalam, Mahiaddin berkata jika persempadanan kawasan berjaya dilakukan, ia berkemungkinan akan berfokus di kawasan bandar yang kebanyakannya didiami pengundi Cina.

Menepis dakwaan itu, Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, gambaran mengenai jumlah pengundi Cina di kawasan Parlimen yang besar seperti dinyatakan Presiden Bersatu itu salah dan tidak tepat.

“Pengerusi Perikatan Nasional ingin menakutkan orang Melayu kononnya akan ada pertambahan kerusi Parlimen jika PRK Pulai dimenangi oleh Pakatan Harapan.

“Kalau ikut data 2022, ada lebih daripada 147,000 pengundi Melayu di kawasan Parlimen Bangi.

“Kalau ikut data 2022 juga, jumlah pengundi di Pagoh (semua bangsa) adalah lebih kurang 69,000 pengundi di kawasan Parlimen Pagoh.

“Maknanya, ada lagi ramai pengundi Melayu sahaja di Bangi berbanding kesemua pengundi di Pagoh. Saya di Bangi mewakili lebih ramai orang Melayu daripada beliau di Pagoh,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pagoh itu mendakwa kemenangan PN pada PRK Pulai 9 September ini cukup penting untuk memastikan kerajaan tidak sesuka hati meminda Perlembagaan, terutama persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Beliau berkata, kemenangan PN akan menafikan majoriti dua pertiga di Parlimen seterusnya memberi kesan besar dalam soal pindaan Perlembagaan.

Sementara itu Syahredzan menegaskan, hanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang boleh melaksanakan persempadanan semula dan tindakan berkenaan tidak memerlukan sokongan dua pertiga ahli Parlimen, sebaliknya majoriti mudah.

Beliau juga mengingatkan bahawa Perikatan Nasional tiada hak untuk mendiamkan suara rakyat yang mengadu bahawa 300,000 pengundi untuk satu-satu kawasan Parlimen adalah terlalu besar.

“Dan, saya boleh katakan rata-rata apabila saya berjumpa orang di Bangi, tidak kira kaum, mereka kata 300,000 pengundi untuk suatu kawasan Parlimen adalah terlalu besar.

“Ini suara mereka, bukan saya. Apa hak Perikatan Nasional untuk lenyapkan suara mereka?

“Dan akhirnya yang akan lakukan persempadanan semula adalah Suruhanjaya Pilihan Raya. Juga, kalau ikut Perlembagaan Persekutuan, persempadanan semula sahaja tidak memerlukan sokongan dua pertiga ahli Parlimen, hanya majoriti mudah,” ujarnya.

Beliau turut menasihatkan agar PN tidak bermain politik sempit hanya untuk menimbulkan ketakutan

“Berlaku adil pada semua, termasuklah orang Melayu yang tinggal di kawasan bandar seperti di Parlimen Bangi,” katanya lagi.

Tiada ulasan: