"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pas tiada harapan di Simpang Jeram, pemimpinnya ekstrem – bekas ADUN

HarapanDaily.com

SITI NUR ZAWANI 

Bekas ADUN Pas di Johor menyifatkan angan-angan Pas, yang mahu kembali merampas kerusi DUN Simpang Jeram dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) 9 September ini sebagai sia-sia kerana parti tersebut sudah tidak relevan di kawasan itu.

Bekas ADUN Sungai Abong, Dr Sheikh Ibrahim Sheikh Salleh yang kini menyertai AMANAH berkata, perjuangan ‘Pas For All’ yang mesra kepada masyarakat bukan Islam sudah tiada apabila Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia.

Apa yang tinggal katanya, hanyalah sekumpulan pemimpin yang agak ekstrem dan sering memainkan isu 3R, raja, kaum dan agama.

“Dulu Pas sesuai dengan jiwa saya, masa itu perjuangan kita mesra kepada masyarakat bukan Islam, bila ada ‘Pas For All’ itu slogan yang dapat sambutan daripada masyarakat Cina, India, luar biasa kita tak jangka, sangat sesuai dengan perjuangan saya.

“Tapi apabila Allahyarham Nik Abdul Aziz meninggal, slogan itu mati, jadi Pas yang tinggal ini sedikit ekstrim dan hari ini nampak lebih ekstrim lagi dengan macam-macam isu Melayu, agama, raja-raja (3R) dimainkan dan ini sudah tentulah tidak sesuai di Simpang Jeram,” katanya seperti dilapor Bernama.

Simpang Jeram merupakan satu daripada tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terletak di bawah Parlimen Bakri, Muar.

Dahulunya Simpang Jeram dikenali sebagai DUN Sungai Abong, sebelum persempadanan semula dibuat pada 2018.

Sheikh Ibrahim yang menjadi ahli Pas selama 36 tahun berkata, pemimpin ekstrem yang membuatkan beliau tawar hati dengan Pas dan kini menyertai AMANAH sejak 2019.

Menurutnya, perjuangan AMANAH yang turut bermula di Simpang Jeram pada 2015, adalah lebih sesuai dengan situasi masyarakat semasa, lebih terbuka dan lebih bersederhana sesuai dengan konsep Rahmatan Lil Alamin.

“Bila tak dapat sokongan Cina maka isu 3R ini Pas akan main dan saya percaya selepas ini mereka akan jadi lebih ekstrim memandangkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) berada dalam satu gabungan yang lebih moderate (sederhana), DAP yang lebih sederhana, semua akan lebih bersederhana,” katanya.

Katanya, hasrat Pas yang mahu melahirkan doktor kedua, iaitu kemenangan calon berlatarbelakangkan pakar perubatan di Simpang Jeram melalui pendekatan kempen calon Perikatan Nasional (PN) merawat dan mendekati pengundi sakit, hanya dilihat sebagi gimik bagi meraih undi semata-mata.

“Kerana saya doktor dan anak tempatan di sini, berkhidmat di sini daripada mula saya bertugas pada 80-an hingga hari ini, walaupun saya sudah bersara, saya doktor berkhidmat dan calon berkhidmat dan memberi rawatan kepada penduduk di sini sepanjang saya jadi ADUN.

“Tapi calon PN ini berkhidmat semasa berkempen sahaja, beza berkhidmat semasa kempen untuk menarik pengundi. Dia pernah bertanding sini pada 2018, kalau niat nak berkhidmat di sini dia akan bertanding lagi pada 2022, tapi mana nampak dia punya keikhlasan, lepas kalah lari,” katanya.

PRK di Simpang Jeram dan Parlimen Pulai menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara PN, BN-PH dan Bebas, dengan calon PH Nazri Abdul Rahman akan berdepan saingan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mohd Mazri Yahya daripada PN dan calon Bebas yang juga ahli perniagaan S Jeganathan.

Tiada ulasan: