"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Muhyiddin satu-persatu dilondehkan

Hishamuddin Aun

Semakin hampir PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, Sabtu ini, Muhyiddin Yassin harus semakin cemas. Kemenangan Perikatan Nasional (PN) dalam PRK itu terletak di bahunya. Sebarang kekalahan juga akan tertuding ke mukanya sebagai seorang pemimpin dari Johor.

Tetapi, seperti ‘dilondehkan’ oleh seorang pemimpin Barisan Nasional (BN) tempatan, butir bicara Muhyiddin sebagai presiden Bersatu dan pengerusi PN menjelang PRK berkenaan seakan-akan menawarkan alasan untuk jangkaan kekalahan yang menanti mereka.

Dari awal lagi, Muhyiddin kata PN yakin tawan Pulai – daripada Pakatan Harapan (PH) yang menang dengan majoriti 33,174 undi pada PRU15 – jika 90% Melayu keluar mengundi dan memilih gabungan itu. Ini beliau sebutkan pada majlis pengumuman calon PN menjelang PRK Pulai dan Simpang Jeram pada 23 Ogos lalu.

“Kita sudah melalui banyak pilihan raya. Kerana dalam analisis PRU yang lepas hampir 80% pengundi Melayu. Kalaulah di Johor ini, 90% pengundi keluar dan 90% pengundi orang Melayu menyokong PN, menang kita,” katanya.

Ketika itu, mungkin ramai yang tidak sedar tapi seperti didedahkan oleh Ketua Umno Pulai Nur Jazlan Mohamed, belum pernah dalam sejarah pilihan raya di Pulai menyaksikan sehingga 90% pengundi Melayu keluar mengundi.

Rasanya Muhyiddin pun tahu akan hakikat itu tapi ia mungkin disiapkannya sebagai alasan jika PN tewas dengan menjadikan peratus Melayu keluar mengundi yang lebih rendah daripada 90% sebagai asbab.

“Muhyiddin juga tahu PH yang akan menang Pulai. Kerana itu juga, dia melontarkan matlamat yang hampir mustahil. Jika itu keputusannya nanti, Muhyiddin tidak akan dapat gunakan Pulai untuk dijadikan satu lagi pungutan suara bagi menambah tekanan ke atas kerajaan perpaduan,” kata Nur Jazlan.

Pada PRU15, Salahuddin Ayub menang Parlimen Pulai dengan majoriti besar 33,174 undi, manakala pada PRN Johor yang berlangsung pada Mac 2022, beliau menang kerusi DUN Simpang Jeram dengan majoriti 2,399 undi.

Penganalisis menjangkakan PH akan dapat mempertahankan Pulai tapi mungkin dengan majoriti undi yang lebih kecil, dengan kelebihan dijangka datangnya daripada peratusan pengundi bukan Melayu yang membentuk sekitar 44% pemilih di kawasan itu.

Sebaliknya, Simpang Jeram dilihat agak kritikal, kata penganalisis lagi, dan PH tak mustahil hilang DUN itu yang berdekatan dengan Parlimen Pagoh yang menjadi kubu kuat Muhyiddin.

Seperti kata Muhyiddin sendiri, Pulai yang lebih diidamkan PH. Kemenangan Zulkifli akan menafikan kerajaan perpaduan daripada mendapat majoriti 2/3 di Dewan Rakyat. Ini, katanya, penting kerana kerajaan Anwar Ibrahim didakwanya mahu meminda Perlembagaan Persekutuan bagi melakukan persempadanan semula jumlah kawasan Parlimen daripada 222 ketika ini kepada 300.

Langkah itu nanti, kata Muhyiddin, akan menyaksikan kawasan di bandar yang dikuasai DAP akan bertambah-tambah, lantas merugikan orang Melayu sendiri. Atas kesedaran itu, beliau mengajak pengundi Pulai memberikan kemenangan kepada calon PN agar hasrat kerajaan perpaduan itu dapat disekat.

Tapi sekali lagi lagi Muhyiddin menyelewengkan fakta. Sebagai membetulkan dakwaan itu, Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan memberi pencerahan bahawa persempadanan semula satu-satu kawasan Parlimen dilakukan mengikut populasi pengundi dan bukan dipecahkan mengikut kaum.

Ini dituruti Pengerusi DAP Lim Guan Eng yang menyindir bagaimana Muhyiddin boleh menjadi perdana menteri kelapan (Mac 2020-Ogos 2021). “Sebagai bekas PM, beliau seharusnya tahu persempadanan semula adalah tugas Suruhanjaya Pilihan Raya,” katanya.

Lagipun, katanya, perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam kalangan Ahli Parlimen kerajaan seperti turut disahkan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, yang menganggap dakwaan Muhyiddin itu sebagai tidak berasas sama-sekali.

“Tidak hairanlah pentadbiran Muhyiddin sebelum ini dilabel sebagai ‘kerajaan gagal’,” kata Guan Eng.

Dalam kepesatan arus teknologi maklumat hari ini, orang ramai tidak hanya mendengar, menonton atau membaca isi sesuatu ceramah politik tetapi turut mengikuti reaksi terhadapnya untuk mereka membuat perbandingan dan kesimpulan sendiri.

Andai pemesongan fakta oleh Muhyiddin seperti di atas dianggap remeh dan sekadar modal pilihan raya, namun kenyataannya bahawa haram mengundi calon PH Suhaizan bagi PRK Parlimen Pulai harus keterlaluan.

Dikenali daripada keturunan tok guru dan sudah menukar songkok kepada kopiah tapi sejak berkawan rapat dengan PAS yang dahulu dimusuhinya, Muhyiddin dilihat lebih daripada sesetengah pemimpin PAS sendiri yang sewenang-wenangnya mengeluarkan ‘fatwa’ asalkan menguntungkan diri dan parti.

Ia, malah, turut mengundang reaksi serta-merta Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamad yang menegur tindakan sesetengah ahli politik mengeluarkan ‘fatwa haram’ kepada pihak tertentu dengan sewenang-wenangnya. Beliau tidak menyatakan siapa tetapi ia jelas dibuat selepas ucapan Muhyiddin pada ceramah perdana di Dataran Utama Kempas, Johor Bahru, Sabtu lalu.

Selain ia mendapat teguran Presiden Umno Zahid Hamidi dan timbalannya Mohamad Hasan, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata siasatan terhadap Muhyiddin dilakukan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan ketakutan dan kegentaran awam, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia.

Namun, seperti kata Nur Jazlan, rakyat Johor tidak akan termakan ‘fatwa’ seperti itu kerana mereka mendakap kemajmukan negeri itu di samping telah dididik mengenai agama menerusi sistem kerajaan negeri yang telah melahirkan orang Melayu yang berpengetahuan tinggi mengenai Islam. Lantas, slogan ‘selamatkan Islam’ termasuk yang dilaungkan Presiden Pas Hadi Awang tak laku di Johor.

Muhyiddin, yang hanya 49.4% calon Bersatu menang berbanding 107 daripada 127 calon Pas atau 84.25% menang untuk beliau menumpang kejayaan besar PN dalam PRN 12 Ogos lalu, semakin mendapati dirinya dilondehkan.

Terbaru, semasa berucap pada majlis Ceramah Mega PN di Markas Pas Kawasan Bakri, Ahad lalu, Muhyiddin menyifatkan PN tidak dapat membentuk kerajaan selepas PRU15 walaupun pada awalnya sudah memperoleh jumlah kerusi secukupnya sebagai kemenangan yang tertangguh.

Nampaknya begitulah juga dalam waktu terdekat ini.

Tiada ulasan: