"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis siasat kejadian penunggang motosikal dipukul lelaki tak berbaju

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my
RAKAMAN kemalangan dan kejadian pukul membabitkan dua penunggang motosikal di  Jalan Utama Cheras Perdana, Kajang yang tular.
RAKAMAN kemalangan dan kejadian pukul membabitkan dua penunggang motosikal di Jalan Utama Cheras Perdana, Kajang yang tular.
Kajang: Polis menyiasat kejadian tular kemalangan dan pukul di Jalan Utama Cheras Perdana, di sini, membabitkan dua penunggang motosikal.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menerima laporan berhubung video papan pemuka kenderaan membabitkan penunggang motosikal itu, 12.09 tengah hari tadi.

Menurutnya, kejadian disyaki berlaku pada 11.25 pagi Jumaat lalu, di mana sebuah motosikal keluar secara tiba-tiba dari simpang menyebabkan sebuah lagi motosikal yang melalui jalan utama yang ditunggang lelaki tanpa baju, gagal mengawal kenderaan lalu melanggar motosikal berkenaan.

"Penunggang motosikal tanpa berbaju terus bertindak memukul penunggang motosikal berkenaan dengan menggunakan tangan dan kaki.

"Kejadian berkenaan dirakam melalui papan pemuka sebuah kereta sebelum dimuatnaik dan tular di Telegram," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata, sehingga kini pihak polis masih belum menerima apa-apa laporan berhubung kemalangan atau kejadian pukul itu daripada pihak yang terbabit.

"Kes diteruskan dan disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

"Bagi sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu, boleh berhubung dengan mana-mana balai berdekatan atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Mu'az Mazlan di talian 017-9788804," katanya.

Tiada ulasan: