"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dulu Pas pun pertahan kes Zahid, sekarang sebar naratif lain

HarapanDaily.com

SITI NUR ZAWANI 

Bekas pemimpin Pas, Mohd Khairuddin Aman Razali menempelak parti itu yang cuba mencipta naratif berbeza terhadap Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, tidak seperti ketika mereka berkawan dahulu.

Beliau berkata, ketika di awal pendakwaan terhadap Ahmad Zahid iaitu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Pas bersama-sama mempertahankan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu atas nama kerjasama pembangkang.

Namun, kata Khairuddin, apabila Ahmad Zahid menjadi musuh Pas, mereka tidak lagi memegang prinsip Islam sebagai panduan iaitu “seseorang tidak bersalah selagi tidak dibuktikan”.

“Semua tahu bahawa Zahid Hamidi ditekan oleh Tun Mahathir untuk membubarkan Umno pasca PRU14. Apabila beliau enggan akur maka keluar pendakwaan politik terhadap beliau.

“Ketika awal pendakwaan berlaku, Pas bersama-sama mempertahankan Zahid kerana sama-sama pembangkang ketika itu. Rakan kerjasama dipertahankan.

“Namun, apabila sekarang Pas tidak lagi bekerjasama dengan Umno maka tentulah mereka tidak akan mempertahankannya lagi.

“Malah, turut mencipta dan menyebarkan persepsi yang mencemar maruah manusia tanpa rasa berdosa dan takut kepada Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Pada masa sama, bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, prinsip Islam “seseorang tidak bersalah selagi tidak dibuktikan sebaliknya” tidak lagi menjadi rujukan dan panduan dalam berpolitk.

“Malang sekali pendirian manusia boleh berubah dengan melihat apakah kawan yang menjadi mangsa kezaliman atau musuh saingan,” ujarnya.

Kelmarin, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas Zahid tanpa membebaskan beliau daripada 47 tuduhan rasuah, pecah amanah, dan pengubahan wang membabitkan dana Yayasan Akalbudi; selepas timbalan pendakwa raya memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Zahid pada peringkat itu.

Ini bermakna, pihak pendakwaan boleh meneruskan kes ini, atau mengemukakan kes terhadap Zahid pada bila-bila masa nanti berdasarkan fakta dan keterangan yang serupa dalam kes itu.

Tiada ulasan: