"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis ambil keterangan Hadi esok

Faiz Zainudin

PETALING JAYA: Polis akan mengambil keterangan Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada 9 pagi esok berhubung kenyataan yang dipercayai mempertikai kuasa Lembaga Pengampunan, dalam ceramah di markas parti itu di Bakri, Muar, Johor minggu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata mengambil keterangan Hadi terpaksa ditangguhkan atas faktor kesihatan.

“Beliau minta tangguh ke esok hari kerana beliau tidak sihat,” katanya yang enggan memaklumkan lokasi pertemuan, menurut Buletin TV3.

Semalam, polis memaklumkan proses mengambil keterangan Hadi ditangguhkan selepas dimaklumkan oleh wakil presiden PAS itu “masih uzur”.

Alasan Hadi itu bagaimanapun dipersoalkan selepas muncul laporan presiden PAS itu bertemu bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Hadi bergambar bersama Mahathir semalam, dalam pertemuan yang turut dihadiri menteri besar Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu.

Ditanya mengenai pertemuan itu, Shuhaily berkata ia di luar pengetahuan polis. “Perjumpaan beliau dengan Mahathir adalah di luar dari pengetahuan kami.”

Sebelum ini, Bukit Aman berkata polis membuka siasatan terhadap Hadi di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Sementara itu, setiausaha politik Hadi, Syahir Sulaiman meminta PKR yang mempersoalkan alasan uzur presiden PAS itu supaya merujuk kenyataan Bukit Aman.

“Komunikasi kami hanya dengan Bukit Aman, dan sebarang kenyataan hanya daripada Bukit Aman,” katanya kepada FMT.

Tiada ulasan: