"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

5 suspek militan Filipina ditahan di Semporna, Kunak

Bernama

LAHAD DATU: Lima warga Filipina yang merupakan suspek dikaitkan dengan aktiviti militan serta kumpulan Abu Sayyaf berjaya ditahan di Semporna dan Kunak pada tahun lepas.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Victor Sanjos berkata semua suspek itu berada di negara ini secara haram selepas melarikan diri dari Filipina akibat tekanan oleh pihak keselamatan negara itu yang menjalankan operasi intensif.

Tanpa mendedahkan tarikh ditahan dan identiti suspek, beliau berkata mereka masuk ke Sabah menggunakan laluan haram bagi mengelakkan dikesan sekiranya masuk melalui laluan diwartakan, dan mereka bertindak sendirian serta tidak mempunyai ahli keluarga di negeri ini.

“Operasi menahan semua suspek dilakukan bersama pasukan dari IPK Sabah dan Bukit Aman dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia serta Maritim Malaysia dan Esscom sendiri,” katanya kepada pemberita.

Menurut beliau, semua suspek itu ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan dihantar pulang ke negara asal selepas menjalani hukuman di negara ini.

Dalam pada itu, Victor berkata berdasarkan kajian sasaran keganasan yang dijalankan Polis Cawangan Khas Bukit Aman, sebanyak 13 individu diletakkan dalam senarai dikehendaki pihak berkuasa negara kerana mempunyai kaitan dengan aktiviti militan serta jenayah rentas sempadan.

“Ketika ini, Esscom giat memantau ancaman dan aktiviti individu-individu yang terbabit daripada masuk ke kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone),” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Ess Zone kekal stabil tanpa insiden penculikan dari 2020 hingga kini.

“Sejak 2015, pasukan keselamatan menembak mati 20 anggota kumpulan Abu Sayyaf, di samping 17 anggota kumpulan itu yang juga dikaitkan dengan kumpulan penculikan untuk wang tebusan ditangkap.

“Pada 2014 hingga 2018, pasukan keselamatan turut menggagalkan 12 cubaan penculikan serta rompakan di laut,” katanya.

Victor berkata terdapat 21 kes penculikan untuk wang tebusan direkodkan berlaku di perairan Esszone membabitkan 58 mangsa, bagaimanapun 51 orang berjaya diselamatkan, manakala enam lagi terbunuh serta seorang masih hilang.

Lebih sedekad penubuhan Esscom, beliau berkata terdapat sel kumpulan Abu Sayyaf serta kumpulan penculikan untuk wang tebusan ditumpaskan melalui beberapa siri operasi khas bersepadu yang dilaksanakan bersama pasukan keselamatan serta membabitkan perkongsian maklumat perisikan dengan pihak berkuasa Filipina dan Indonesia.

Tiada ulasan: