"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tiga lelaki ditahan kurung, pukul wartawan China - Polis

Malaysiakini

Tiga lelaki tempatan ditahan polis semalam di sekitar Kajang, bagi membantu siasatan kes melibatkan mengurung dan menyamun seorang wartawan lelaki warga China, hujung tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan dalam kenyataan hari ini berkata pada kejadian yang berlaku pada 31 Dis tahun lepas itu, mangsa berusia 40 tahun sedang bercuti dalam negara, dan telah dijemput untuk bermain serta ditawarkan cip tunai bernilai RM100,000 di sebuah kasino di Genting Highlands, Pahang.

Beliau berkata mangsa yang kalah, kemudiannya telah diminta untuk membayar semula hampir RM200,000 dan mangsa telah membayarnya melalui transaksi dalam talian bank dari China.

“Mangsa kemudiannya diminta untuk memindahkan wang lagi sebanyak RM150,000, namun enggan membayarnya kerana mengesyaki telah ditipu dan diperdaya,” katanya.

Mohd Zaid berkata berikutan itu, mangsa diperdaya dengan jemputan makan malam dan dibawa ke sebuah kebun durian berdekatan Genting Highland, sebelum dipukul dan barangan peribadi miliknya dirampas.

“Selepas itu, mangsa dibawa ke kawasan taman perumahan di sekitar Kajang dan dikurung, diikat serta dipukul oleh beberapa lelaki di dalam pondok pengawal keselamatan berhampiran,” katanya.

Mohd Zaid berkata mangsa yang kemudiannya berjaya melepaskan diri dan dibantu orang awam, telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, pada 2 Jan lepas.

Beliau berkata kesemua suspek yang berusia lingkungan 30an hingga 50an, telah mengaku terlibat kes ini dan mereka direman selama lima hari oleh Mahkamah Kajang bermula hari ini sehingga Isnin depan, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini, diminta untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Afiq Rifdi Mohd Azmi di talian 011-29667474 atau mana-mana balai polis berhampiran, bagi membantu siasatan,” katanya.

- Bernama

Tiada ulasan: