"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SPRM beku akaun bank milik Tan Sri bernilai puluhan juta ringgit

SITI NUR ZAWANI

Akaun bank persendirian milik seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri yang bernilai puluhan juta ringgit telah dibeku oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut laporan, pembekuan itu dibuat berikutan siasatan yang dijalankan SPRM membabitkan kontrak yang diberikan kepada sebuah syarikat pembekal kenderaan kerajaan sejak Julai tahun lalu.

Memetik Berita Harian, sebelum ini SPRM turut menyerbu kediaman dan syarikat seorang ahli perniagaan berusia 70-an itu serta memperoleh dokumen berkaitan kewangan yang boleh membantu siasatan.

Keterangan beberapa saksi penting terdiri agensi kerajaan dan individu daripada syarikat yang mendapat perolehan membekal serta menguruskan ‘fleet’ kenderaan kerajaan turut dirakam.

“Lebih 100 akaun persendirian dan syarikat bernilai jutaan ringgit di bawah kawalan Tan Sri berkenaan dianalisis bagi melihat trend pemindahan wang kepada individu tertentu.

“Daripada jumlah itu, SPRM membekukan beberapa akaun yang jumlahnya dianggarkan puluhan juta ringgit,” kata sumber itu seperti dilapor.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Hishamuddin Hashim, ketika dihubungi mengesahkan pembekuan akaun tersebut dan memaklumkan kes disiasat bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

Sebelum ini media melaporkan SPRM memeriksa kediaman seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri dipercayai berhubung siasatan rasuah berkaitan pemberian tender projek perbekalan, pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan kerajaan (Projek Fleet) bernilai RM4.5 bilion.

Tiada ulasan: