"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ganja di poket suami, pil kuda disorok dalam coli isteri

FMT Reporters
PETALING JAYA: Sepasang suami isteri ditahan di Pasir Mas, Kelantan minggu lalu kerana disyaki memiliki dadah bernilai RM25,110.

Ketua Polis Kelantan, Muhammad Zaki Harun berkata, ketika kejadian, suspek 26 dan 27 tahun itu keluar dari kereta Perodua Kelisa sebelum anggota menahan mereka pada 6.30 petang Khamis lalu.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas bungkusan plastik hijau atas tanah dekat pasangan itu menemui 2,000 biji pil kuda, manakala baki 280 pil kuda disorok dalam coli suspek wanita ketika anggota memeriksa badannya.

Beliau berkata, 3.9g ganja pula ditemui dalam poket seluar suspek lelaki dan ujian saringan air kencing mendapati dia positif methamphetamine.

“Pasangan berkenaan kemudian ditahan untuk dibawa ke IPD Pasir Mas bagi tindakan lanjut,” katanya menurut Berita Harian selepas Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Kelantan di IPD Pasir Mas.

Menurutnya, pasangan itu direman tujuh hari hingga 1 Feb ini untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kes berasingan, Zaki berkata, orang kurang upaya antara dua lelaki disyaki memiliki pil kuda dan Erimin 5 bernilai RM22,305 dalam kejadian di Jalan Bukit Tuku, Pasir Mas pada 6.40 petang semalam.

“Anggota menahan kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 21 tahun, menaiki Honda Civic sebelum membuat pemeriksaan dan menemui semua dadah dalam kereta berkenaan.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif methamphetamine, selain mempunyai rekod lampau membabitkan penyalahgunaan dadah.”

Katanya, mereka direman tujuh hari hingga 5 Feb ini untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Tiada ulasan: