"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga asing mengaku hendap wanita tempatan waktu subuh

DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret, Melaka, hari ini.
MELAKA – Seorang lelaki warga Pakistan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menghendap seorang wanita tempatan melalui tingkap belakang rumah mangsa, pada November tahun lalu.

Majistret Nabilah Nizam bagaimanapun menetapkan tarikh sebutan semula pada 26 Februari depan untuk pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Urdu.

Ia susulan terdapat keraguan pada tahap pemahaman tertuduh, Ahmed Waqar, 30, bagi pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Melayu pada hari ini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah berulang kali menganggu seorang wanita tempatan berusia 30 tahun dengan menghendap melalui tingkap di belakang rumah di Bukit Beruang dalam daerah Melaka Tengah yang mana tertuduh sepatutnya tahu bahawa gangguan tersebut boleh mendatangkan ketakutan terhadap mangsa.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh antara pukul 5.52 pagi sehingga 6.10 pagi daripada 14 November 2023 sehingga 6 Disember 2023.

Sabit kesalahan, tertuduh yang merupakan seorang pembantu restoran boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 507A (1) Kanun Keseksaan yang boleh di hukum di bawah Seksyen 507A (3) akta yang sama.

Terdahulu, Peguam Umar Zulkarnain yang mewakili tertuduh merayu agar jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan pihak polis dan majikannya juga memberi jaminan mengenai kehadiran tertuduh.

Pendakwaan telah dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan dua orang penjamin tempatan beserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri dua kali setiap bulan di Balai Polis Ayer Keroh sehingga prosiding selesai. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: