"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Hot Daddy’: 6 wanita didakwa miliki video lucah

FMT Reporters
Semua wanita berkenaan didakwa di lima Mahkamah Majistret berasingan di Kuala Lumpur atas tuduhan memiliki video lucah. (Gambar X)
PETALING JAYA: Enam wanita disyaki mempunyai kaitan dengan seorang lelaki dikenali sebagai “Hot Daddy” didakwa di lima Mahkamah Majistret berasingan di Kuala Lumpur atas tuduhan memiliki video lucah.

Mengikut pertuduhan, semua wanita itu didakwa memiliki video lucah bagi maksud menunjukkannya secara awam di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap, IPD Wangsa Maju pada 5 petang, 30 Jan lalu.

Semua mereka dituduh mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan, lapor Sinar Harian.

Selepas tuduhan dibacakan empat tertuduh iaitu penganggur Nurnabilah Ayuni Hanafi, 22; dan pemandu pelancong Amira Natasha Mohammad, 26; penuntut universiti Nur A’liaa Muhamad Rosly, 22; serta eksekutif pemasaran Farah Adila Hanum Khairuddin, 36, membuat pengakuan bersalah.

Mereka mengaku bersalah di hadapan Majistret Atiqah Mohamad Saim, Noorelynna Hanim Abd Halim dan Illi Marisqa Khalizan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman RM3,000 terhadap Nurnabilah dan Amira, manakala Nur A’liaa didenda RM4,800 dan Farah idenda RM2,500.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurhafiezah Mohamed Fauzi, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal, Zuhairi Osman, Sheryn Yong Shi Yee dan Nor Aisyah Mohamed Zanyuin.

Semua tertuduh diwakili peguam, Aisya Rahim dan peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nicholas Cheoh serta Ernie Ahmad.

Sementara itu, dua lagi tertuduh iaitu akauntan Norfatihah Ramle, 30 dan penuntut kolej swasta Felecia Lisa Nandong, 21, mengaku tidak bersalah atas tuduhan sama yang dibaca di hadapan Majistret, S Arunjothy dan Nurul Izzah Shaharuddin.

Selepas mendengar hujahan jaminan mahkamah membenarkan Norfatihah dan Felecia dibebaskan dengan ikat jamin masing-masing RM3,000 dan RM2,000 dengan seorang penjamin, serta menetapkan 12 dan 16 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Nurhafiezah manakala dua tertuduh diwakili peguam, Khairunnisa Azzahrah Ghazalie dan Zamier Abu Bakar.

Tiada ulasan: