"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes bekas setpol menteri, 2 saksi didakwa kerana beri keterangan bercanggah

Bernama
Ahmad Hisham Mohd Tajuddin dan Zainudin Abdul Majid didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan memberi keterangan bercanggah dalam perbicaraan kes rasuah bekas setiausaha politik kepada Mohamad Sabu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Dua saksi utama pendakwaan dalam kes rasuah bekas setiausaha politik kepada Mohamad Sabu, didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memberikan keterangan bercanggah semasa disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ketika perbicaraan kes itu.

Ahmad Hisham Mohd Tajuddin, 54, dan Zainudin Abdul Majid, 53, mengaku tidak bersalah, selepas semua pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Hisham yang merupakan bekas pengarah sebuah syarikat, didakwa atas empat pertuduhan memberikan keterangan tidak selaras pada perbicaraan kes rasuah dihadapi Mohd Azhar Che Mat Dali, dengan pernyataan yang diberikan kepada Penolong Kanan Penguasa SPRM Shamsudin Md Noh.

Tertuduh memberi keterangan pada perbicaraan kes rasuah itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah 8 di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 9 Mei dan 9 Jun 2023, manakala keterangan kepada SPRM di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, pada 2 Nov 2022.

Zainudin pula didakwa atas lima pertuduhan sama ketika memberikan keterangan dalam perbicaraan serupa pada 21 Mac dan 7 April 2023, yang tidak selaras dengan pernyataan kepada Shamsudin pada 4 Nov 2022.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 27(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Farah Yasmin Salleh, menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin untuk semua pertuduhan bagi kedua-dua tertuduh, serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri sebulan sekali ke pejabat SPRM berhampiran sehingga kes selesai.

Peguam Wan Shahrizal Wan Ladin yang mewakili kedua-dua tertuduh, memohon jaminan rendah atas alasan anak guam kini tidak bekerja dan menjaga ibu mereka yang lumpuh, selain kesalahan yang dilakukan tidak mendatangkan kemudaratan kepada pihak ketiga.

Mahkamah membenarkan Zainudin dan Hisham masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat-syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan serta menetapkan 26 Feb untuk sebutan semula kes.

Pada 12 Jan, Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan Azhar, 53, daripada tujuh pertuduhan menerima dan meminta rasuah berjumlah RM6.48 juta daripada syarikat kontraktor bagi membantu mendapatkan projek di sebuah kementerian.

Tiada ulasan: