"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki maut ditikam dengan kaca, satu ditahan

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang lelaki maut ditikam dengan kaca dalam kejadian pertengkaran di belakang sebuah restoran di Jalan Peel di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Deputi Superintendan Norhisham Mustapar berkata, polis menerima laporan kejadian pada 3.20 pagi.

Menurutnya, pertengkaran membabitkan mangsa dan rakan lelaki masing-masing berusia 22 serta 28 tahun.

"Dalam pertengkaran itu, suspek dipercayai mengambil serpihan kaca lampu dan menikam leher mangsa menyebabkan mengalami kecederaan parah.

"Suspek membawa mangsa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan namun mangsa disahkan meninggal dunia dan suspek kemudian melarikan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertindak atas laporan, beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menjalankan siasatan dan berjaya menahan suspek di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) pada 2.30 petang hari sama.

Norhisham berkata, suspek ditahan reman selama enam hari bermula hari ini sehingga 7 Februari ini untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kes berasingan, beliau berkata, pihaknya menumpaskan sindiket pengedaran dadah di Wangsa Maju susulan penahanan tiga lelaki dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Gombak di sini, kelmarin.

"Dalam serbuan itu, polis merampas 18.53 kilogram dadah jenis ganja dan 2,001 biji pil erimin 5 anggaran berat 57.06 gram.

"Polis turut menyita aset suspek membabitkan wang tunai RM277, sebuah kereta Nissan Navara, Ford Ranger dan dua komputer riba dengan nilai keseluruhan rampasan serta sitaan RM206,900," katanya.

Kata beliau, kesemua suspek direman tujuh hari bermula semalam sehingga 7 Februari ini bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tiada ulasan: