Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my
PEMBONCENG wanita yang dalam perjalanan ke rumah kakaknya di Palong 1, Jempol tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 8, Jalan Gemencheh-Batang Melaka. FOTO Ihsan PDRM
Tampin: Suri rumah maut selepas motosikal dibonceng terbabas di Kilometer 8, Jalan Gemencheh- Batang Melaka, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 11.20 pagi itu, mangsa berusia 51 tahun bersama suami dikatakan menaiki motosikal berkuasa tinggi dari Ayer Molek, Melaka.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, mangsa parah di kepala dan disahkan maut di lokasi kejadian.
"Siasatan awal mendapati motosikal jenis BMW RT2 dari arah Ayer Molek dalam perjalanan ke rumah kakaknya di Palong 1 Negeri Sembilan.
"Ketika tiba di lokasi tiba-tiba motosikal ditunggang lelaki berusia 52 tahun itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan kiri dan jatuh di atas jalan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, akibat kemalangan, pembonceng iaitu seorang wanita parah di kepala dan disahkan maut di lokasi kejadian manakala penunggang cedera ringan pada bahagian tangan kanan.
"Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat," katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih diteruskan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke Balai Polis Trafik IPD Tampin dan boleh menghubungi di talian 064412502 atau 064431999 Bilik Gerakan IPD Tampin bagi membantu siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan