"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Ambulans berpusing beberapa kali, bumbungnya tercabut dan kami empat beranak tercampak keluar'

Mohd Rafi Mamat
bhnews@bh.com.my
Nor Mamod bersama anak lelakinya, Jeremy, menerima lawatan Pegawai Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Fadzlette Othman Merican (kiri) dan Seriwani Sabtu di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, semalam. Turut serta, Pengarah JAKOA Pahang, Johari Alwi. - NSTP/MOHD RAFI MAMAT
Nor Mamod bersama anak lelakinya, Jeremy, menerima lawatan Pegawai Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Fadzlette Othman Merican (kiri) dan Seriwani Sabtu di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, semalam. Turut serta, Pengarah JAKOA Pahang, Johari Alwi. - NSTP/MOHD RAFI MAMAT
KUANTAN: "Hati tak tenang fikir keadaan anak sulung, dia cedera serius bahagian kepala dan masih koma".

Nor Mamod, 38, bimbang memikirkan keadaan Susan Tan Tai Hoi, 17, yang bersama dua adik, Serena, 15, dan Jeremy, 5, terbabit nahas ketika menaiki ambulans Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang di Kilometer 47.3 Lebuhraya Kuala Kumpur-Karak, Bentong, kelmarin.

Kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) pada jam 1.27 tengah hari berkenaan menyebabkan Nor bersama tiga anaknya itu tercampak keluar dari ambulans dalam perjalanan pulang dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) ke Kampung Bukit Serok di Rompin.

Katanya, dia ke HKL kerana janji temu dengan doktor pakar merawat Serena yang menghidap penyakit buah pinggang kronik dan selesai sesi itu, mereka pulang menaiki ambulans yang disediakan JAKOA.

"Ambulans berpusing beberapa kali, bumbungnya tercabut dan kami empat beranak tercampak keluar ke atas jalan. Semasa kemalangan, Susan tidur, mungkin sebab itu dia alami kecederaan serius di bahagian kepala dan anggota badan lain.

"Susan masih koma dengan pengawasan rapi doktor pakar di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini. Saya dan dua lagi anak, Serena dan Jeremy hanya mengalami luka kecil dan lebam pada beberapa bahagian badan kerana tercampak keluar dari kenderaan," katanya.

Beliau memaklumkan demikian selepas menerima kunjungan Pegawai Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Fadzlette Othman Merican dan Seriwani Sabtu di HTAA, di sini. Hadir sama, Pengarah JAKOA Pahang, Johari Alwi.

Nor berkata, selain Susan yang perlu menjalani dialisis tiga kali seminggu, dia juga menguruskan Jeremy yang menerima rawatan di HTAA selepas dipindahkan dari Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSAS) Temerloh dan menjalani imbasan kali kedua semalam.

Suami, Tan Tai Hoi, 55, menguruskan Serena yang terpaksa menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital di Johor Baharu, hari ini.

"Terima kasih kepada JAKOA yang banyak membantu sejak kemalangan, setiap hari pegawai JAKOA melawat di HTAA, sediakan makanan dan beri nasihat. Saya harap Susan segera sedar dan tidak mengalami kecederaan serius terutama bahagian otak," katanya.

Sementara itu, Fadzlette berkata, sumbangan diberikan diharap dapat meringankan beban keluarga mangsa dan mendoakan mereka yang menerima rawatan segera sembuh.

Tiada ulasan: