"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemandu e-hailing didakwa heret penumpang keluar, tinggalkan di tengah lebuh raya

WAN SITI AMINAH
Seorang pemandu e-hailing didakwa telah menggunakan kekerasan untuk mengusir penumpang keluar dari kereta di susur masuk Lebuh Raya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX).

Menerusi rakaman yang dimuat naik di laman Instagram, pemandu berkenaan dilihat menarik kaki penumpang agar wanita itu keluar daripada keretanya sebelum beredar meninggalkannya.

Difahamkan, rakaman tersebut dikongsikan sendiri oleh penumpang dikenali sebagai Maya yang memaklumkan kejadian berlaku pada 13 Jun lalu selepas wanita terbabit membuat tempahan di sebuah aplikasi e-hailing.

“Saya telah menempah pemandu menerusi aplikasi atas talian untuk ke Colony Star Boulevard KLCC (Jalan Yap Kwan Seng, Kampung Baru, Kuala Lumpur). Selepas itu, seorang pemandu kereta jenis Toyota Vios mengambil saya.

“Harga tempahan dari rumah saya ke destinasi ini berharga RM28.00. Tidak lama kemudian, saya memaklumkan kepada pemandu untuk tidak menggunakan laluan yang mempunyai tol.

“Pemandu berkata, saya hanya penumpang dan tidak patut bertanya begitu kepada beliau. Pemandu marahkan saya dan telah membuka suara radio dengan kuat,” jelas wanita terbabit dalam laporan polis yang dikongsi di Instagram.

Maya mendakwa hanya meminta budi bicara pemandu mengguna jalan tidak bertol dan langsung tidak berniat memaksa lelaki berkenaan untuk mengikut kemahuannya.

Bagaimanapun apabila dimarahi, Maya merasa takut dan membuat keputusan untuk membuat aduan di platform yang telah disediakan oleh syarikat e-hailing berkenaan.

“Pihak e-hailing itu bagaimanapun terus menghantar makluman kepada pemandu. Apabila pemandu membuka notifikasi di telefon bimbitnya, dia malah memarahi saya kerana membuat aduan.

“Semasa kami berada di susur masuk Lebuhraya Mex (daripada Lebuh raya Kesas menghala ke Pusat Bandar) beliau meminta saya turun. Saya maklumkan tidak mahu turun kerana kami berada di kawasan lebuh raya dan banyak kereta.

“Pemandu membuka pintu bahagian penumpang, mengambil botol air (jenis keluli) milik saya dan menbalingnya ke muka saya. Beliau juga menarik kaki saya untuk turun daripada kereta. Setelah itu, beliau terus beredar,” ulasnya.

Menurut Maya, panggilan ke talian keemasan 999 telah dibuat sebanyak empat kali untuk meminta bantuan namun malangnya talian mengalami gangguan dan terputus-putus.

Selepas kejadian mencemaskan itu berlaku, Maya tampil membuat laporan polis dan pemandu berkenaan telah didenda sebanyak RM2,000 selepas mengaku bersalah.

Walaupun kes tersebut telah selesai, Maya memutuskan untuk tetap menularkan rakaman berkenaan agar pihak e-hailing bertindak lebih ‘bijak’ bagi memastikan keselamatan penumpang.

Tindakan syarikat tersebut terus memberikan makluman kepada pemandu mengenai aduan ketika penumpang masih berada di dalam kereta telah mengundang ancaman kepada pelanggan.

Malah, keengganan pihak e-hailing tersebut memberikan kerjasama untuk menyediakan maklumat ketika laporan dibuat turut mendorong Maya menularkan kembali kejadian itu di media sosial.

Tiada ulasan: