"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Anak muda tak lagi ghairah PN, selesa berbaju perpaduan’

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Kurang 24 jam hari pengundian PRK Sungai Bakap, calon kerajaan perpaduan dan Perikatan Nasional (PN) dilihat memiliki peluang seimbang untuk menang dalam pertembungan dua penjuru itu, menurut kajian sebuah firma penyelidikan bebas.

Dapatan Ilham Centre merumuskan, gelombang anak muda yang begitu ghairah menyokong PN sebelum ini berubah dengan ketara di Sungai Bakap, apabila sebahagian mereka tidak lagi berasa segan bergaya dengan baju-T logo perpaduan ketika beriadah.

“Anak-anak muda yang dulu ghairah mempamerkan sokongan kepada PN, sekarang sudah tidak sekuat itu. Pengundi muda mula tidak segan silu untuk bergaya dengan baju gabungan parti perpaduan, lepak berbual di sana-sini.

“Situasi yang tidak menonjol dalam PRN lepas,” menurut kajian dijalankan dalam dua fasa iaitu pertengahan kempen dan menuju penghujung kempen.

Sungai Bakap, DUN bawah Parlimen Nibong Tebal adalah kerusi bercampur dengan 59% pengundi Melayu, Cina (23%), India (17%), dan lain-lain (1%).

Calon kerajaan perpaduan diwakili Joohari Ariffin, bekas guru dan anak tempatan manakala PN mempertaruhkan Abidin Ismail, pembantu wakil rakyat sebelum ini Nor Zamri Latiff yang meninggal dunia pada 24 Mei lalu.

Selain faktor ‘ayunan’ anak muda, Ilham Centre berkata sokongan pengundi teras Umno yang memilih PN pada PRN lalu dilihat sudah tidak sekuat sebelumnya.

Kajian di lapangan menunjukkan gerak kerja jentera Umno yang kuat dan sistematik dengan menyantuni dan mendampingi kelompok itu semakin diterima.

“Temu bual bersama pengundi Umno menunjukkan situasi tersebut telah mula berubah sedikit. Kecenderungan mereka terhadap PN semakin tidak kuat seperti sebelumnya,” menurut dapatan itu.

Pada PRU14, Barisan Nasional (BN) memperoleh kira-kira 8,000 undi bagi DUN Sungai Bakap, dibantu sekitar 5,000 ahli Umno di kawasan berkenaan.

Akibat ‘rempuhan gelombang hijau’, sebahagian besar pengundi teras Umno memberi undi kepada PN dalam PRN lalu.

Menyentuh undi etnik Cina yang menjadi deposit tetap PH sejak beberapa siri pilihan raya sebelum ini, Ilham Centre mendapati kelompok berkenaan tidak menunjukkan keghairahan untuk membuang undi esok kerana tidak berpuas hati dengan beberapa polisi ekonomi dan prestasi kerajaan perpaduan khususnya berkait isu air.

“Namun, senario ini tidak berlaku secara blok, sebahagian lagi pengundi etnik Cina tetap memberi komitmen untuk keluar membuang undi,” menurut cerapan Ilham Centre.

“Jika PH-BN berupaya memujuk pengundi Cina untuk keluar mengundi, mereka berpotensi merampas DUN ini daripada PN jika perbezaan peratusan keluar mengundi etnik Melayu dan Cina tidak melebihi 15%.

“Jika sebaliknya, PN akan mengekalkan status quo sebagai pemenang kerusi ini,” menurut dapatan itu.

Tiada ulasan: