"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: 10 cedera termasuk 4 parah kemalangan 3 kenderaan

Siti Rohana Idris
bhnews@bh.com.my
Salah sebuah daripada tiga kenderaan yang terbabit kemalangan di Batu Melintang, Jeli, petang tadi. - Foto ihsan bomba
Salah sebuah daripada tiga kenderaan yang terbabit kemalangan di Batu Melintang, Jeli, petang tadi. - Foto ihsan bomba
JELI: Sepuluh mangsa cedera, termasuk empat parah, manakala dua lagi selamat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Batu Melintang, di sini, petang tadi.

Kejadian kira-kira jam 2.50 petang itu dipercayai berlaku apabila sebuah kenderaan jenis Naza Citra dinaiki lima beranak terbabas sehingga memasuki laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan dua kereta lain.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jeli, Mohd Adni Ibrahim, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 2.58 petang berhubung kemalangan itu.

Susulan itu, beliau berkata, 10 pegawai serta anggota bergegas ke lokasi sebelum mendapati tiga kenderaan terbabit kemalangan, iaitu Naza Citra, Proton Persona dan Perodua Axia, dengan 12 mangsa.

"Difahamkan, Naza Citra yang dipandu seorang lelaki berusia 20-an itu sedang dalam perjalanan dari Gerik menghala ke Jeli, manakala dua kereta lain terbabit dari arah bertentangan.

"Setiba di lokasi kejadian, Naza Citra dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan dua kereta terbabit.

"Empat mangsa didapati parah, termasuk seorang wanita. Pasukan mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan dua mangsa yang tersepit dalam kenderaan itu," katanya ketika dihubungi.

Mohd Adni berkata, tiga ambulans dan sebuah jentera Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) kemudian membawa semua mangsa ke Hospital Jeli untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, BERNAMA pula melaporkan Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Saari Yaacob, dalam satu kenyataan berkata Naza Citra terbabit dipercayai memotong di garisan berkembar dalam kejadian berkenaan.

Justeru, beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung insiden itu diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli, menerusi talian 09-9440222 atau pegawai penyiasat (013-9137300).

Tiada ulasan: