"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemimpin Umno kata ‘Pujukan’ Fadhli bukti PAS terdesak pertahan Sg Bakap

Mohamad Fadli

PETALING JAYA: Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari disifatkan terdesak apabila ‘memujuk’ ahli Umno menyokong Perikatan Nasional (PN) termasuk pada PRK Sungai Bakap, dengan alasan untuk menyelamatkan parti itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Sharkar Shamsudin, berkata Fadhli cuba bermain psikologi yang mungkin dilakukannya untuk mempengaruhi pengundi kerana tertekan mempertahankan kerusi itu.

“Ini semua taktik lama. Taktik ‘reverse’ psikologi.

“Logiknya teori wakil PAS ini menunjukkan (parti itu) terdesak (dan) bimbang kerajaan perpaduan iaitu calon PKR menang. Itu sahaja,” katanya kepada FMT.

Fadhli dalam siri ceramah PRK Sungai Bakap malam tadi membuat gesaan itu dan turut mendakwa Umno tidak akan bangkit selagi berada dalam kerajaan perpaduan.

Dakwanya, ini kerana pemimpin Pakatan Harapan (PH) terutama DAP tidak mahu melihat Umno menjadi parti besar seperti dahulu.

Pandangan Sharkar turut dipersetujui seorang lagi Ahli MKT Nur Jazlan Mohamed yang menyifatkan PAS terdesak dan meminta belas kasihan apabila memerlukan.

“PAS tahu undi Umno menentukan kekalahan PN di Sungai Bakap,” katanya.

Di sebalik ‘pujukan’ Fadhli itu, Nur Jazlan berkata Umno komited dengan kerajaan perpaduan dan tidak memerlukan PAS yang pernah menjadi rakannya selepas PRU14 sebelum ‘berpisah’ menjelang PRU15.

PRK Sungai Bakap Sabtu depan menyaksikan pertembungan satu lawan satu membabitkan calon PH Joohari Ariffin dengan Abidin Ismail daripada PN.

Sebelum ini, Presiden Umno Zahid Hamidi berkata parti itu akan berusaha menarik seramai mungkin pengundi ‘putihnya’ termasuk ahlinya bagi memastikan kemenangan Joohari, mewakili kerajaan perpaduan.

Katanya, ahli Umno yang menjadi pengundi berjumlah 5,105 orang di lapan pusat daerah mengundi.

Tiada ulasan: