"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hasil Judi boleh disucikan fatwa dari guru ajaran sesat

Bharianonline

SINGAPURA: Sekurang-kurangnya lima saksi pendakwaan tampil memberi keterangan terhadap seorang lelaki yang didakwa menyebar doktrin yang menyeleweng daripada ajaran Islam.

Mohd Razif Radi, warga Singapura berusia 66 tahun, dibicarakan bagi satu pertuduhan yang dikenakan ke atasnya di bawah Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) kerana menyebar ajaran yang bertentangan dengan undang-undang Islam.

Menurut dokumen mahkamah, dia dituduh melakukan demikian antara 2004 dan 2020 dengan menyampaikan tiga ajaran palsu: perjudian dibenarkan; lelaki dan perempuan boleh berkahwin secara sah melalui perkahwinan batin; dan dia mampu memanggil roh 'Mbah' – kononnya 'nabi terakhir' atau daripada keturunan nabi.

Dalam perbicaraan sejauh ini, yang bermula pada 24 Jun di hadapan Hakim Daerah Shaiffudin Saruwan, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Hidayat Amir membuat dua permohonan.

Pertama, tiga saksi pendakwaan memberi bukti menerusi secara tertutup di mahkamah. Kedua, semua saksi pendakwaan tidak dinamakan untuk melindungi identiti mereka.

Peguam Razif, Simon Tan daripada Attorneys Inc, meminta perintah yang sama diberikan kepada saksi pihak pembelaan.

Hakim terlebih dahulu membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya semua saksi tidak dinamakan untuk melindungi identiti mereka dengan beberapa bukti didengar secara tertutup.

Hakim memberitahu pihak pembela bahawa beliau tidak akan memberi perintah mahkamah untuk melindungi identiti saksi pembelaan sekarang, tetapi berkata pihak pembelaan boleh membuat permohonan yang sewajarnya pada masa yang berkaitan.

Seorang saksi lelaki, yang memberitahu mahkamah beliau pernah menghadiri dua sesi pengajaran kendalian tertuduh, memberi keterangan bahawa menurut Razif, wang kemenangan hasil perjudian boleh 'disucikan' dan digunakan sebagai modal dalam perniagaan.

Namun, menurut laman sesawang Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), perjudian sama sekali dilarang dalam Islam.

Saksi itu dipetik sebagai berkata dalam laporan The Straits Times (ST) bahawa ada kalanya, pengikutnya akan mengumpul hasil kemenangan, walaupun ia 'bukan jumlah yang besar' semasa salah satu sesi pengajaran tersebut.

Beliau tidak menyatakan sama ada telah mengambil bahagian dalam perjudian ramalan nombor, dan tidak ingat jika Razif memberi sebarang wang tunai untuk pertaruhan sedemikian.

Seorang lagi saksi pendakwaan dan bekas pengikut tertuduh menerangkan Razif juga dikatakan terlibat dalam 'nikah batin' dan memerlukan 13 isteri.

Saksi tersebut dipetik dalam laporan ST sebagai berkata: "Dia (Razif) mencadangkan supaya kami buat (nikah batin) dan cari wanita di luar sana untuk meneruskan kepercayaannya mendapatkan 13 isteri".

Saksi juga menambah, beliau kemudian diberitahu oleh Razif bahawa 'Mbah' adalah 'Nabi Muhammad SAW'.

Saksi sama turut memberi keterangan bahawa menurut Razif, 'Mbah' merupakan 'kadi' dalam nikah batin tersebut manakala 'malaikat' dan Allah merupakan saksi dalam pernikahan sedemikian.

Lelaki itu turut memberitahu mahkamah, sebagai menjawab pertanyaan DPP Hidayat, bahawa beberapa kelas diadakan di rumah pengikut lain di kawasan Teck Whye.

Terdapat juga beberapa contoh apabila kumpulan itu bertemu di lokasi lain, termasuk di tepi pantai, jelasnya.

Lelaki itu menerangkan bahawa semasa satu sesi sebegitu di tepi pantai, Razif memberitahu kumpulan itu supaya melihat air dan meramalkan bahawa sulur air akan muncul.

"Saya melihat dengan mata kepala saya sendiri, dan saya terkesima. (Pengikut yang lain) tercengang," tambahnya.

Lelaki itu berkata beliau kemudian berasakan bahawa Razif adalah 'apa yang dikatannya' dan menambah: "Kami percaya dengan apa yang dia (Razif) katakan dan tidak akan pernah membantah apa yang dia galakkan kami lakukan".

Saksi itu memberi keterangan lanjut bahawa pengikut Razif digalakkan membuat pertaruhan dengan Singapore Pools dan hasil kemenangan akan digunakan untuk menambah pendapatan kumpulan itu.

Sementara itu, seorang saksi wanita, yang menghadiri empat kelas anjuran Razif, memberitahu mahkamah bahawa lelaki itu telah bertanya kepadanya sama ada beliau mahu dimandikannya semasa salah satu sesi pengajaran.

Wanita itu memberitahu bahawa beliau menolak tawaran itu.

Beliau menambah bahawa Razif, bekas tukang urut, turut bertanya sama ada dia boleh melihat wanita itu berwuduk – satu amalan sebelum solat.

Wanita itu berkata, beliau tidak tunduk pada permintaan Razif kerana ini bermakna beliau perlu melonggarkan tudungnya untuk melakukan amalan itu.

Wanita itu memberitahu mahkamah bahawa berbuat demikian di hadapan Razif adalah tidak dibenarkan dalam Islam, dan menambah: "(Selepas itu) dia tidak menunjukkan wajah gembira".

"Dia berkata, dia boleh membawa saya ke Changi untuk menunjukkan kepada saya bahawa dia boleh turunkan bulan... untuk tunjukkan bahawa dia ada kuasa tambahan.

"Apa yang terlintas di fikiran ialah (ahli silap mata) David Copperfield... (dia) melakukan muslihat."

Seorang lagi saksi memberitahu mahkamah bahawa adik perempuannya, yang dikatakan pengikut Razif, mendakwa akan menerima ganjaran besar ibarat 'durian runtuh' dengan syarikat Green Media, dengan nama Razif tertera pada akaun Facebook syarikat itu. - AGENSI

Tiada ulasan: