"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi: 'Emosi bergolak’ pengundi Melayu makin reda

Elill Easwaran

PETALING JAYA: Kebimbangan pengundi Melayu di Sungai Bakap terhadap kerajaan perpaduan semakin mereda sejak beberapa minggu lalu, kata Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli menjelang PRK itu pada Sabtu.

Beliau yang juga menteri ekonomi, berkata pengundi Melayu di seluruh negara dalam ’emosi bergolak’ selepas kerajaan perpaduan diterajui Pakatan Harapan (PH) dibentuk pada 2022 kerana takut hilang hak mereka.

Katanya, ketakutan itu dimainkan Perikatan Nasional (PN) ketika gabungan itu berkuasa pada 2020.

Berucap dalam ceramah di Sungai Bakap, malam tadi, Rafizi berkata PN juga mengeksploitasi ketakutan itu pada PRN tahun lalu.

“Dua tiga minggu saya di sini, saya rasa Alhamdulillah emosi yang bergolak itu sudah nampak tanda-tanda ia mula reda,” katanya.

“Begitu juga dengan data-data diperolehi, nampak insya-Allah ada tenang dan kalau kita berjaya gabung dan gembleng kempen yang baik…insya-Allah akan ada peralihan undi daripada dalam kalangan pengundi-pengundi Melayu di Sungai Bakap.”

Semalam, FMT melaporkan PH berusaha keras mahu memenangi undi Melayu di kawasan itu mengambil kira 77% daripadanya memberi sokongan kepada PN, pada PRN Pulau Pinang.

Sumber PKR berkata, PH yakin menang di Puteri Gunung, kawasan bercampur terbesar Sungai Bakap, namun mendapati gabungan berkenaan sukar menembusi Sungai Kechil, Tasek Junjong, dan Sungai Duri, kawasan kelahiran calon PN, Abidin Ismail dari PAS.

Empat kawasan lain – Padang Lalang, Sungai Bakap, Ladang Sempah, dan Kampung Besar – kekal menjadi rebutan parti bertanding, kata pemimpin akar umbi itu.

Abidin berdepan calon PH, Joohari Ariffin dari PKR, pada PRK Sungai Bakap, Sabtu ini.

Berdasarkan data pengundian 2023, Sungai Bakap mempunyai 59.36% pengundi Melayu, 22.54% (Cina), dan 17.39% (India), manakala etnik lain, 0.71%.

Tiada ulasan: