"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Puad beritahu PAS: Lebih baik bantu Bersatu yang dah ‘nyawa-nyawa’ ikan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi menyarankan agar PAS membantu rakan sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN), Bersatu yang menurutnya sudah ‘nyawa-nyawa ikan’ berbanding mahu ‘menyelamatkan’ Umno.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap ajakan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari agar ahli Umno menyokong PN, termasuk pada PRK Sungai Bakap.

“Lebih baik PAS bantu Bersatu yang tinggal nyawa-nyawa ikan. Baru PAS tahu mereka memikul biawak hidup (Bersatu) yang menyusahkan,” katanya.

Menyifatkan kenyataan Fadhli sebagai ‘alasan’ parti itu ingin kembali bekerjasama dengan Umno, Puad berkata, semuanya sudah terlambat.

“Umno tidak akan masuk lubang biawak dua kali. PAS dulu, kini dan selamanya hanya berniat mahu bunuh Umno,” katanya di Facebook.

Terdahulu, Fadhli dilaporkan mendakwa, Umno tidak mampu bangkit selagi berada dalam kerajaan perpaduan.

Hal ini kerana, katanya, pemimpin Pakatan Harapan (PH), terutamanya DAP, tidak mahu melihatnya kembali menjadi parti besar.

“Kalau anda (ahli Umno) fikir untuk selamatkan Umno undilah PN,” katanya ketika ceramah PN PRK Sungai Bakap pada Sabtu.

PRK Sungai Bakap dijadualkan berlangsung Sabtu depan, susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pilihan raya di kawasan dengan 39,279 pengundi itu akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH Joohari Ariffin dengan Abidin Ismail daripada PN.

Tiada ulasan: