"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penjawat awam antara 4 ditahan samun kedai jual alat memancing

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
WAN Azharuddin (kanan) menunjukkan pelbagai barangan yang dirampas. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
WAN Azharuddin (kanan) menunjukkan pelbagai barangan yang dirampas. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
Sungai Petani: Seorang penjawat awam dan tiga rakannya yang baru pertama kali melakukan kegiatan samun Ahad lalu, ditahan hanya selepas empat jam melakukan jenayah itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kesemua mereka yang berusia 32 hingga 52 tahun itu menyasarkan kedai menjual alat memancing di Jalan Lencongan Barat, di sini, kerana dipercayai minat memancing.

"Polis menerima panggilan jam 11.27 pagi Ahad lalu mengenai kejadian samun menggunakan senjata api di lokasi kejadian.

"Hasil maklumat berkenaan, polis yang melakukan siasatan menahan empat lelaki di Kampung Teluk Wang Besar, dekat sini, untuk siasatan.

"Siasatan lanjut mendapati, seorang daripada suspek adalah penjawat awam berusia 43 tahun manakala dalang kumpulan itu iaitu suspek kedua berusia 38 tahun," katanya pada sidang media di IPD Kuala Muda, di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya merampas pelbagai peralatan memancing, wang tunai dan dadah jenis ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 70.31 gram.

Beliau berkata, keesokannya, seorang daripada suspek mendedahkan tempat penyimpanan senjata api di sebuah bengkel kereta di lokasi terbabit dan menemui sepucuk pistol Revolver bersaiz empat inci dan tiga unit bahan letupan.

"Modus operandi yang dilakukan mereka adalah dengan masuk ke dalam premis itu dan berpura-pura untuk membeli barangan sebelum bersetuju untuk membeli satu barang dalam kedai terbabit.

"Suspek kemudian keluar dahulu daripada kedai berkenaan dan masuk semula ke dalam kedai itu untuk menyamun.

"Daripada maklumat awal diperoleh, suspek dipercayai menggunakan senjata parang tetapi apabila ada saksi yang tampil membantu polis, senjata yang digunakan dalam kejadian adalah pistol Revolver," katanya.

Wan Azharuddin berkata, pistol itu adalah milik suspek kedua yang diperoleh dari sebuah negara sejak 2008.

"Bagaimanapun, kumpulan ini tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana pihak dari negara luar dan mereka dipercayai baru pertama kali hendak melakukan samun," katanya.

Wan Azharuddin berkata, penjawat awam dan suspek ketiga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah manakala suspek kedua mempunyai satu rekod kes jenayah dan tiga rekod dadah, sementara suspek keempat mempunyai satu rekod jenayah dan dua rekod dadah.

Beliau berkata, kesemua suspek direman sehingga 17 November ini dan akan disambung reman untuk membantu siasatan berhubung kes ini.

"Selain itu, pihak polis juga sedang mengesan seorang lagi suspek lelaki berusia 30-an yang disyaki terbabit dalam kes ini dan identitinya sudah dikenal pasti setakat ini," katanya.

Tiada ulasan: