Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my
AMBULANS kelihatan di lokasi kejadian di Jalan Imbi, Kuala Lumpur, malam tadi. FOTO Safeek Affendy Razali
Kuala Lumpur: Empat penjenayah warga Vietnam yang aktif dalam kes 'tebuk peti besi' di sekitar Lembah Klang sejak 2018 dengan kerugian RM4.3 juta maut ditembak polis, malam tadi.
Suspek yang terbabit 44 kes tebuk peti besi ditembak semasa sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan JSJ Kuala Lumpur menyerbu unit kediaman di tingkat 17, sebuah residensi di Jalan Imbi, di sini, 11.30 malam tadi menerusi Operasi Tebuk (Op Tebuk).
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kesemua suspek berusia 40-an cuba melepaskan tembakan ke arah pihak polis.
AMBULANS kelihatan di lokasi kejadian di Jalan Imbi, Kuala Lumpur, malam tadi. FOTO Safeek Affendy Razali
Menurutnya, suspek turut melepaskan tembakan secara tiba-tiba menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan sebelum suspek ditembak mati.
"Hasil pemeriksaan, polis mendapati suspek bersenjatakan dua parang dan dua pistol yang digunakan untuk menyerang pihak polis.
"Hasil siasatan polis mendapati suspek dipercayai sering keluar dan masuk ke negara ini dan sudah mengaut RM4.3 juta hasil daripada jenayah pecah rumah, pecah pejabat sebelum 'menebuk' peti besi dari premis yang menjadi sasaran mereka," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini.
Rusdi berkata, modus operandi suspek adalah menyasarkan pejabat dan kediaman yang tidak berpenghuni selepas melakukan pemerhatian sebelum melakukan jenayah.
"Kejadian terbaharu dua hari lalu Sri Hartamas, di sini sebelum kembali menyembunyikan diri di lokasi yang diserbu malam ini.
"Kita juga percaya mereka ini menjadikan unit kediaman mewah di sini sebagai tempat perancangan jenayah, berehat serta menyembunyikan diri," katanya.
Beliau berkata, daripada siasatan, suspek yang mempunyai pasport ini sangat berbahaya dan susah untuk ditahan kerana kelicikan mereka.
"Mereka ini bergerak melakukan jenayah pada waktu malam dan tidak meninggalkan kesan, malah apabila wajah mereka terakam pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ia agak sukar untuk dikenal pasti disebabkan mereka warga asing.
"Siasatan lanjut kini sedang diteruskan baki mengesan saki-baki kumpulan ini dan juga dalam proses melengkapkan siasatan atas jenayah yang dilakukan mereka.
"Mayat kesemua suspek dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan