Agensi
PASANGAN itu kini kembali bersama. FOTO Baidu
Beijing: Demi membuktikan cintanya, seorang lelaki sanggup berbasikal hampir 4,400 kilometer (km) ke barat daya China, selama 100 hari, untuk berbaik semula dengan isterinya, selepas dua tahun berpisah.
South China Morning Post (SCMP) melaporkan, Zhou, 40-an dan berasal dari Lianyungang, wilayah Jiangsu di timur China, bertemu isterinya, Li, di Shanghai, dan mereka berkahwin pada 2007.
Selepas berpisah pada 2013, pasangan itu berkahwin semula, seterusnya mendapat seorang anak lelaki dan anak perempuan.
Bagaimanapun, mereka kemudiannya berpisah semula kerana konflik peribadi.
"Tiada isu serius antara kami, kami berdua sangat degil dan bertindak secara impulsif, membawa kepada beberapa pergolakan dan perdamaian," jelas Zhou,
Lelaki itu berkata, mereka kekal berhubung dan kedua-duanya mengharapkan peluang untuk bersatu semula.
"Dia 'menghulurkan tangan' ingin kembali bersama, dan saya secara berseloroh berkata: 'Saya memandu ke Lhasa'.
"Jika dia boleh menunggang basikal ke sana, saya mungkin mempertimbangkan untuk berdamai.
"Sejujurnya, saya hanya mengatakannya secara bersahaja. Saya tidak sangka dia benar-benar melakukannya," kata Li kepada Yangtse Evening Post.
ZHOU menempuh perjalanan yang mencabar meliputi 100 hari. FOTO Baidu
Zhou memulakan perjalanan berbasikalnya dari bandar tenggara Nanjing pada 28 Julai lalu.
Selama 100 hari, dia menempuh jarak 4,400 km sebelum tiba di Lhasa pada 28 Oktober.
Dalam perjalanannya, Zhou berdepan dua insiden. Kali pertama di wilayah Anhui di timur China, di mana dia mengalami strok haba dan dimasukkan ke hospital.
Insiden kedua lebih teruk, di Yichang, wilayah Hubei, tengah China, apabila Zhou rebah ketika berbasikal di jalan raya, sekali lagi mengalami strok haba.
"Keadaan di Yichang agak serius, malah isteri saya (kemudian) memandu ratusan kilometer untuk menjaga saya," kata Zhou.
Setelah dia pulih, mereka meneruskan perjalanan bersama ke Lhasa. Setibanya mereka di sana pada 28 Oktober, mereka mengadakan majlis kecil tanda bersatu semula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan