"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tayar kereta pecah digigit harimau

KOSMO

Seekor harimau menghampiri kereta pengunjung lalu menggigit tayarnya. - EBC Media
JAKARTA – Pemilik sebuah kenderaan mengalami detik cemas apabila tayar keretanya digigit oleh seekor harimau ketika mengunjungi sebuah taman safari di Bogor, wilayah Jawa Barat, lapor laman berita Detik hari ini.

Berdasarkan video tular di media sosial, beberapa buah kenderaan dilihat bergerak dalam kawasan Taman Safari Indonesia.

Ketika melalui zon harimau, sebuah kenderaan tiba-tiba berhenti walaupun peraturan taman safari itu melarang pengunjung memberhentikan kenderaan mereka.

Keadaan itu menyebabkan seekor harimau yang berlegar-legar di tepi jalan menghampiri kereta tersebut lalu menggigit tayar belakangnya.

Pemilik kenderaan tersebut kemudian tampil menunjukkan kesan gigitan itu, yang mengakibatkan tayarnya pecah.

Naib Presiden Media, Acara dan Digital Taman Safari Indonesia, Alexander Zulkarnain berkata, insiden itu berpunca daripada sikap pengunjung yang memberhentikan kenderaan.

“Ada pengunjung yang terpaksa berhenti kerana pemandu lain di hadapan menghentikan kenderaan walaupun sudah diingatkan agar tidak bertindak demikian.

“Mereka tidak mengendahkan peraturan sehingga menyebabkan berlakunya insiden harimau menggigit tayar salah seorang pengunjung,” katanya.

Jelas Alexander, semua pihak bernasib baik kerana harimau itu tidak menyerang pengunjung.

“Petugas kami sentiasa bersiap sedia dan proaktif untuk membantu pengunjung ketika berada di zon harimau,” ujarnya. – AGENSI 

Tiada ulasan: