"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Skandal rasuah Adun Sabah: Saya hanya seloroh, kata Adun Tempasuk

FMT Reporters
Mohd Arsad Bistari berkata rakaman itu disunting dan disebar dengan niat jahat.

Adun Tempasuk Mohd Arsad Bistari berkata perbualannya dalam rakaman itu adalah komunikasi bersifat ringan yang dimanipulasikan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Adun Tempasuk Mohd Arsad Bistari menjelaskan perbualannya dalam video tular dikaitkan dengan dakwaan skandal rasuah dibuat secara berseloroh.

Arsad berkata, rakaman itu disunting dan disebar dengan niat jahat namun beliau sudah menyedari ada niat tidak baik ketika dikunjungi individu yang berbual dengannya.

“Saya ingin menjelaskan bahawa perbualan saya dalam rakaman yang disunting dan disebar dengan niat jahat itu dilakukan secara berseloroh dan bukan dalam konteks serius.

“Saya mengesyaki individu yang bertemu dengan saya mempunyai niat yang tidak jelas dan atas tanggapan itu saya berbual secara sarkastik dan tidak formal.

“Tidak wajar untuk merumuskan bahawa perbualan itu adalah pengakuan atau tindakan yang bersifat melanggar undang-undang,” katanya dalam kenyataan, menurut Harian Metro.

Pendedahan klip video memaparkan Arsad sedang berbual mengenai projek dengan individu yang merakam video itu adalah yang ketiga tersebar selepas video menunjukkan Adun Kemabong Rubin Balang dan klip audio dikaitkan dengan suara Adun Sindumin Yusof Yacob.

Rakaman itu didakwa diserahkan pemberi maklumat sebelum disebarkan melalui portal berita.

Arsad berkata, perbualannya dalam rakaman itu adalah komunikasi bersifat ringan yang dimanipulasikan untuk memberi gambaran negatif terhadap dirinya.

“Tuduhan bahawa saya menerima komisen atau ‘jolok’ adalah satu fitnah yang tidak berasas dan direka untuk merosakkan reputasi saya di mata masyarakat.

“Saya juga ingin memperjelas bahawa saya menghormati kedudukan serta budi bicara Menteri Kewangan Sabah Masidi Manjun dan Ketua Menteri Hajiji Noor.

“Tuduhan bahawa saya menyalahkan mereka atau menyatakan projek saya ‘dihalang’ adalah tidak benar dan sengaja diputar-belit termasuk dakwaan pembabitan Adun Kawang, Pantai Dalit, Tanjung Batu dan Labuk dalam perbualan itu.

“Saya hanya merujuk kepada cabaran dalam melaksanakan projek besar di Sabah, di mana proses kelulusan membabitkan banyak pihak dan tahap prosedur yang tinggi,” katanya.

Beliau sedia dan komited bekerjasama sepenuhnya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa lain jika diperlukan.

Tiada ulasan: