FMT Reporters
Ketika digilis, bahagian kepala mangsa berada di bawah kereta, menurut saksi kanak-kanak itu.
PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini diberitahu bahawa pelajar Tingkatan Lima yang dilanggar berhampiran SMK Jati, Ipoh, pada Disember tahun lepas, digilis di bahagian antara perut dan dada.
Seorang saksi kanak-kanak berkata, dia dan rakan-rakannya yang berada berhampiran lokasi kejadian melihat mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC tercampak ke belakang dan terjatuh ke atas jalan selepas dilanggar oleh sebuah Perodua Ativa.
Saksi berkata, dia melihat tayar hadapan serta belakang sebelah kanan Perodua Ativa itu mengilis bahagian antara perut dengan dada Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17.
Ketika digilis, bahagian kepala mangsa berada di bawah kereta, tambahnya.
“Setelah melihat kejadian itu, saya terus pergi ke arah Zaharif untuk memberi bantuan bersama rakan-rakan lain,” katanya sewaktu membaca pernyataan bertulis di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet, lapor Bernama.
“Ketika saya berada berdekatan dengan Zaharif, tidak lama kemudian, seorang lelaki yang turun daripada kereta Ativa itu pergi berdekatan kami.”
Menurut saksi, lelaki tersebut mengatakan dalam nada marah bahawa Zaharif perlu diangkat untuk dibawa ke balai, namun saksi enggan berbuat demikian kerana bimbang kecederaan mangsa bertambah teruk.
Saksi berkata, sebelum pelanggaran berlaku, Muhammad Zaharif Affendi menekan rem motosikalnya beberapa kali dengan kuat, dan pada waktu itu, Perodua Ativa tersebut berhenti bersebelahan dengan motosikal mangsa.
Katanya, mangsa kemudian memecut meninggalkan kereta itu sebelum diekori oleh pemandunya sehingga tiba di kawasan sebuah masjid.
“Apabila saya nampak Zaharif dan kereta Ativa melepasi bonggol jalan yang terletak di kawasan masjid tersebut, mereka berdua memecut laju.
“Apabila sampai sebelum kawasan simpang, Zaharif memperlahankan motosikalnya dan saya nampak lampu brek belakang menyala.
“Seterusnya saya nampak kereta Ativa melanggar Zaharif dari arah belakang,” katanya menambah, kereta itu tidak berhenti sebelum pelanggaran berlaku.
Saksi ke-10 itu juga berkata, dia melihat Muhammad Zaharif Affendi dalam keadaan separuh sedar dan tidak bermaya dibawa ke tepi oleh beberapa orang yang tidak dikenali.
“Ketika itulah saya melihat kereta Ativa itu telah bergerak ke arah berdekatan dengan Zaharif dan lelaki itu telah membuka pintu belakang keretanya untuk membawa (mangsa) ke balai.
“Namun, orang yang berada di situ menghalangnya (daripada berbuat demikian) kerana risau lelaki itu mengatakan mahu membawa Zaharif ke balai, bukannya hospital,” katanya
Menurut saksi itu, selepas dihalang oleh orang ramai, lelaki terbabit menutup pintu keretanya dan kembali melihat keadaan Muhammad Zaharif Affendi sehinggalah kakak dan bapa mangsa tiba, sebelum lelaki itu beredar.
Mahkamah turut memanggil Pengarah Jabatan Kejuruteraan Majlis Bandaraya Ipoh Ridza’uddin Mohd Radzi sebagai saksi bagi mengesahkan berhubung jalan dan papan tanda di sekitar lokasi kejadian.
Ridza’uddin berkata, terdapat dua bonggol, empat papan tanda peringatan bonggol, dan kelajuan di sekitar kawasan itu adalah antara 30 hingga 40km/j.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz, Nasrul Hadi Abdul Ghani, V Suloshani dan Low Qin Hui, manakala tertuduh diwakili peguam M Athimulan, Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.
Ketika pemeriksaan balas, Athimulan memohon kebenaran mahkamah untuk pihak pembelaan diizinkan pergi ke lokasi kejadian sebelum memulakan prosiding pemeriksaan balas.
Hakim kemudiannya menangguhkan prosiding dan perbicaraan bersambung esok.
Mohd Nazri Abdul Razak, 45, didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi di Jalan Taman Jati 1 berhampiran SMK Jati, Ipoh antara 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari pada 15 Dis tahun lepas.
Pegawai kanan polis itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan minimum sebatan 12 kali, jika sabit kesalahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan