Bernama
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menjatuhkan hukuman penjara 35 tahun ke atas seorang penganggur kerana membunuh adik lelaki dan ibu saudaranya pada 2016.
Panel tiga hakim terdiri daripada Che Mohd Ruzima Ghazali, Azman Abdullah dan Azmi Ariffin turut mengarahkan Azman Wahab, 40, dikenakan 24 sebatan.
Mahkamah menjatuhi Azman 35 tahun penjara bagi setiap tuduhan bunuh dengan kedua-dua hukuman berjalan serentak.
Dia turut dikenakan 12 sebatan bagi setiap tuduhan.
Azman sebelum ini disabitkan Mahkamah Tinggi pada 25 Ogos, 2022 atas kesalahan menyebabkan kematian bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan dan dijatuhi penjara 16 tahun.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi selepas membenarkan rayuan pendakwaan untuk mensabitkan Azman atas tuduhan bunuh yang asal.
Hakim Che Mohd Ruzima ketika menyampaikan keputusan mahkamah berkata, terdapat merit dalam rayuan pendakwaan.
Katanya, terdapat salah arah oleh Mahkamah Tinggi dalam mempertimbangkan pembelaan Azman yang berdasarkan dakwaan ketidaksempurnaan akal ketika itu.
Beliau berkata, pendakwaan berjaya membuktikan suatu keraguan munasabah bahawa Azman telah melakukan pembunuhan.
Azman disabitkan membunuh adik lelakinya Muhammad Azwan, 26, di ruang tamu rumah mereka di Parit Panjang, Baling, Kedah pada 2 Okt, 2016.
Dia turut didapati bersalah membunuh ibu saudaranya, Rokiah Abdullah, 54, di luar rumah sama pada 11.10 pagi hari yang sama.
Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee berhujah, pembunuhan itu disengajakan dan kecederaan parah dan pelbagai yang dialami oleh kedua-dua mangsa tidak menyokong dakwaan bahawa ia dilakukan oleh seseorang yang tidak dapat membezakan bahawa perbuatan itu suatu kesalahan.
Beliau berkata, Azman memukul adiknya, yang lumpuh akibat kemalangan, pada kepala dengan batang pokok rambutan, sebelum cuba memukulnya dengan sebatang besi.
Azman kemudian pergi ke dapur untuk mengambil pemarut kelapa yang digunakan untuk memukul adiknya lagi berulang kali, tambahnya.
Ng berhujah Azman membaling seketul bata ke arah muka Rokiah dan apabila Rokiah terjatuh, dia mengambil bata itu semula dan membaling bata ke arah Rokiah sekali lagi, menyebabkan Rokiah tidak sedarkan diri.
Berdasarkan laporan bedah siasat, katanya, boleh dikatakan bahawa kepala dan muka Muhammad Azwan hancur manakala kecederaan Rokiah disifatkan serupa dengan buah kelapa yang hampir terbelah dua.
Peguam Rafidi Mohamad mewakili Azman berhujah bahawa anak guamnya tidak berniat untuk membunuh kedua-dua mangsa.
Beliau menegaskan bahawa Mahkamah Tinggi adalah betul dalam memutuskan bahawa serangan ke atas kedua-dua mangsa adalah secara spontan tanpa sebarang persediaan dan kesedaran untuk mengetahui bahawa senjata yang diambil anak guamnya boleh menyebabkan kematian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan